Empat penjaja Melayu yang menggabungkan warisan tradisional dan daya inovasi mendapat pengiktirafan dalam Seminar dan Anugerah Penjaja Singapura 2024 pada 4 November.
Berkat pendekatan inovatifnya memodenkan makanan ringan tradisional, min jiang kueh, sejenis pankek serupa dengan apam balik, Encik Abdul Wafi Solihin Abdull Rahim, pengurus pemasaran Munchi Pancakes, menerima Anugerah Penjaja Berdaya Saing.
Atas usahanya menyepadukan teknologi dalam perniagaan dengan menggunakan menu digital melalui WhatsApp Business, yang memudahkan pelanggan membuat pesanan dan pembayaran, Encik Affandi Rahman, daripada Izah Rahman Corner, turut diiktiraf dengan Anugerah Penjaja Bersdaya Saing.
Penghormatan untuk Anugerah Warisan Penjaja turut diberikan kepada Cik Norsalinah Nordun, pemilik Warong Wak Nakem.
Anugerah itu mengiktiraf penjaja yang mengekalkan resipi tradisional dan melayani pelanggan pelbagai generasi.
Anugerah yang sama juga diterima oleh Boon Lay Power Nasi Lemak, yang dikendalikan oleh Cik Nyonya Mohd Shah.
Acara anjuran Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS) dan disokong oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu meraikan sembilan penjaja luar biasa yang mencerminkan budaya makanan Singapura yang kaya.
Anugerah lain yang disampaikan termasuk Anugerah Mentor Penjaja Cemerlang dan Anugerah Pusat Penjaja Kegemaran, yang semuanya menekankan kepentingan memelihara tradisi sambil mendakap inovasi.
Bercakap pada majlis yang diadakan di Our Tampines Hub, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, menekankan peranan penting penjaja dalam landskap budaya Singapura.
“Makanan penjaja adalah salah satu ikon budaya kami yang paling digemari di Singapura.
“Anda melakukan yang terbaik, walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar, untuk menyajikan makanan lazat dan mampu milik, yang membuatkan kami bangga menjadi warga Singapura,” kata Dr Koh.
Beliau juga menekankan keperluan untuk penyesuaian dan inovasi dalam industri.
“Merangkul teknologi dan model perniagaan baru adalah penting untuk kemampanan perniagaan penjaja.
“Kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan pilihan pengguna sambil mengekalkan inti pati warisan masakan kita,” tambahnya.
Mengkhususkan diri dalam min jiang kueh, Munchi Pancakes telah membayangkan semula hidangan yang digemari dengan perisa baru untuk menarik minat generasi muda dan lebih tua, ‘menyegarkan’ semula hidangan klasik itu.
Munchi Pancakes, yang bermula di Pusat Penjaja Yishun pada 2016, telah berkembang dengan ketara, kini dengan 20 cawangan di seluruh Singapura.
Berkongsi pendekatannya mengendalikan perniagaan, Encik Affandi, yang telah berkecimpung dalam perdagangan penjaja selama 16 tahun, berkata:
“Menu digital yang diperkenalkan membolehkan peralihan lancar antara menu sarapan dengan makan malam, dan pelanggan boleh mengambil pesanan tanpa menunggu,” kongsi Encik Affandi.
Bagi Cik Norsalinah, yang menjalankan perniagaannya di 50A Pasar Marine Terrace selama 51 tahun, beliau mampu “bertahan dengan mengekalkan standard mutu yang baik”.
“Lontong kami kini dinikmati oleh pelanggan pelbagai generasi,” kata Cik Norsalinah, pemilik generasi ketiga.
Boon Lay Power Nasi Lemak pula, yang telah beroperasi selama 53 tahun, telah mengembangkan perniagaan keluarga itu dengan menubuhkan dapur berpusat dan memperkenalkan perencah sambal dan pek sedia untuk dimakan yang terdapat di pasar raya.
Anugerah Pusat Penjaja Kegemaran (Favourite Hawker Centre), berdasarkan undian awam sepenuhnya, telah dianugerahkan kepada Pasar Serangoon Garden, hab sibuk yang terkenal dengan pilihan masakan yang pelbagai dan semangat kemasyarakatan yang kuat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg