Orang ramai kini dibenar ke pantai Changi untuk berenang dan melakukan sebarang kegiatan air lain, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam catatan Facebook pada 6 Julai.
NEA menambah, pantai Changi tidak terjejas secara langsung dengan limpahan minyak yang berlaku berikutan kemalangan maritim di Terminal Pasir Panjang lebih tiga minggu lalu.
“Kualiti air kekal normal dan stabil pada minggu lalu, dan sebahagian besar minyak di laut telah dialihkan,” tambahnya. “Oleh itu, NEA akan menarik balik nasihat ini.”
Nasihat terhadap kegiatan sedemikian dikeluarkan pada 17 Jun sebagai respons kepada satu insiden limpahan minyak, yang berlaku apabila tangki kargo yang rosak melimpahkan minyak ke laut di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun.
Tompokan minyak kelihatan di pesisir pantai di Taman East Coast, Hutan Simpanan Labrador, Keppel Bay, Kepulauan Selatan dan Sentosa pada 15 Jun.
Sebahagian minyak juga dilihat di luar Changi, menurut kenyataan bersama Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), NEA, Lembaga Taman Negara (NParks), agensi air negara, PUB, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 17 Jun.
Berdasarkan imej satelit dan dron, tiada tompokan minyak yang dilihat di East Coast dan Changi sejak 18 Jun, lapor The Straits Times pada 25 Jun.
Dalam kejadian pada 14 Jun, bot pengorek berbendera Belanda, Vox Maxima, melanggar kapal tangki, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang selepas mengalami kehilangan kawalan enjin dan stereng secara tiba-tiba.
Ini menyebabkan minyak daripada salah satu tangki Marine Honor bocor ke laut dan mengakibatkan masalah limpahan minyak di pantai seperti Sentosa, Taman East Coast dan Keppel Bay.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg