Secara purata, 600 orang disaman setiap tahun dari 2020 hingga 2024 kerana membuang air kecil atau air besar di tempat awam, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Jumlah saman tertinggi dikeluarkan pada 2023, iaitu sebanyak 1,300.
Peningkatan itu disebabkan oleh lebih banyak aduan mengenai kebersihan di kawasan tertentu, yang menyebabkan lebih banyak pegawai dikerahkan, kata jurucakap NEA dalam menjawab soalan The Straits Times (ST).
Kawasan yang mempunyai masalah kebersihan dikenal pasti melalui data yang dikumpul oleh NEA atau maklum balas daripada orang awam.
Pada 2020 dan 2021, 200 orang disaman setiap tahun kerana melakukan perbuatan tersebut. Jumlah itu meningkat kepada 700 pada 2022 dan 1,300 pada 2023, sebelum turun kepada 700 pada 2024, lapor ST.
NEA berkata angka itu tidak termasuk mereka yang didakwa oleh polis.
“Pegawai kami secara aktif memeriksa dan mengambil tindakan penguatkuasaan di kawasan-kawasan yang mempunyai masalah kebersihan, termasuk lokasi yang dikenal pasti melalui maklum balas orang awam,” kata seorang jurucakap NEA.
Pada Januari sahaja, sekurang-kurangnya tiga lelaki didapati membuang air kecil di stesen MRT.
Warga China, Li Guorui, 41 tahun, disaman $2,000 kerana menjadi gangguan awam.
Pada 15 Januari, dua lelaki Singapura juga didakwa kerana membuang air kecil di dua stesen MRT yang berbeza.
Zhou Hongwei, 57 tahun, membuang air kecil di hadapan pusat perkhidmatan penumpang di stesen MRT Potong Pasir pada 13 Januari sekitar 7.30 malam.
Menurut kertas pertuduhan, Zhou didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan mengetahui ia akan menyebabkan gangguan kepada orang awam.
Di mahkamah, Zhou berkata dia ingin mengaku bersalah atas kesalahan tersebut dan tidak akan melantik peguam bela.
Dia dijangka mengaku bersalah apabila kembali ke mahkamah pada 26 Februari.
Soo Fook Khan, 53 tahun, didakwa kerana membuang air kecil di platform stesen MRT Tanah Merah pada 8 Januari sekitar 12.30 tengah hari.
Soo telah ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan perubatan, dan kesnya akan didengar semula pada 28 Januari.
Menurut NEA, individu yang didapati membuang air kecil atau besar di tempat awam akan dikenakan denda $300.
Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda sehingga $1,000.
ST telah menghubungi NEA untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg