Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara kecil mesti bersatu, bersuara jika kuasa besar langgar undang-undang antarabangsa: Shanmugam

Jan 15, 2024 | 5:55 PM
PERKUKUH SUARA: Encik Shanmugam berucap di persidangan anjuran Pusat Undang-Undang Antarabangsa Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 15 Januari.
PERKUKUH SUARA: Encik Shanmugam berucap di persidangan anjuran Pusat Undang-Undang Antarabangsa Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 15 Januari. - Foto ST

Negara kecil seperti Singapura mesti bersatu dan menyuarakan bantahan jika kuasa besar melanggar undang-undang antarabangsa serta memaparkan sikap pilih kasih, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Ini kerana jika dunia tidak mempunyai undang-undang antarabangsa, prinsip ‘bagai besi dengan penempa’ akan berleluasa dan negara kecil akan menderita.

“Sendirian, perkataan dan perbuatan kami mungkin tidak ada kesan, tetapi dengan bekerjasama, kita boleh memberi kesan,” kata Encik Shanmugam.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap di persidangan anjuran Pusat Undang-Undang Antarabangsa Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 15 Januari di Hotel Orchard.

Seramai 200 peserta termasuk hakim dari mahkamah dan tribunal antarabangsa, ahli akademik, pegawai pemerintah, wakil kedutaan dan pengamal dari firma undang-undang setempat dan serantau hadir pada persidangan itu.

Dalam ucapannya, Encik Shanmugam menyentuh tentang kepentingan undang-undang antarabangsa, realiti dinamik kuasa antarabangsa dan perkara yang boleh dilakukan oleh negara-negara kecil apabila kuasa besar melanggar undang-undang antarabangsa.

Beliau turut memetik artikel yang mengatakan bahawa institusi pelbagai hala kehilangan kredibiliti kerana mereka sering “digunakan dan disalahgunakan” oleh ekonomi maju untuk memenuhi kepentingan mereka sendiri, lapor The Straits Times.

Sebagai contoh, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami tamparan terhadap reputasinya di mata negara-negara sedang membangun yang menganggap sikap pilih kasih dalam tindakan beberapa negara Barat kerana menyokong Ukraine menentang Russia, tetapi menyekat atau mengelak daripada resolusi mengenai gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

Encik Shanumgam berkata negara kecil yang paling terdedah dalam dunia tanpa sistem peraturan dan prinsip untuk mengawal tingkah laku negara.

Dengan undang-undang antarabangsa, negara kecil mempunyai “peluang berjuang untuk mengukir tempat mereka di dunia”.

Perintah antarabangsa berasaskan peraturan mengiktiraf kesaksamaan berdaulat semua negara, memupuk prinsip asas seperti penyelesaian pertikaian secara aman dan berusaha untuk menyediakan persekitaran yang stabil untuk perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Encik Shanmugam berkata, kuasa besar selalunya mahu dilihat sebagai negara yang bertanggungjawab dan sering memberi ceramah kepada orang lain tentang mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Pada masa yang sama, hakikatnya ialah sering kuasa besar bertindak tidak tekal dengan undang-undang antarabangsa apabila prinsip undang-undang antarabangsa bercanggah dengan kepentingan negara mereka,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat pada umumnya dilihat sebagai kuasa yang baik dan peranannya sebagai ‘polis global’ telah membantu menyuntik kestabilan dunia.

Ini telah memberi manfaat kepada banyak negara, terutamanya yang lebih kecil seperti Singapura.

Bagaimanapun, Amerika juga bersedia untuk bertindak bertentangan dengan kewajipan antarabangsanya untuk melindungi kepentingannya.

Dalam pada itu, Encik Shanmugam berkata tindakan Russia dan Israel cuba mewajarkan tindakan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dan bukannya mengabaikan sepenuhnya kewujudannya, cukup penting.

“Ia adalah satu pengakuan bahawa undang-undang antarabangsa penting. Bahawa rekod prestasi yang lemah dalam pematuhan boleh menyebabkan kehilangan legitimasi dan kewibawaan serta pengasingan di pentas dunia, walaupun bagi kuasa besar seperti Russia,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg