Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, bertemu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 30 Mei, di luar Dialog Shangri-La ke-22.
Encik Hegseth mengadakan kunjungan hormat ke atas Encik Wong di Istana, dan kededua pemimpin itu menegaskan sekali lagi hubungan pertahanan dua hala yang amat baik dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Amerika.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik dan isu keselamatan serantau, serta menegaskan sekali lagi komitmen bersama terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
Demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Pada pertemuan itu, Encik Hegseth mengesahkan sokongan berterusan bagi latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Amerika, manakala Encik Wong menekankan sokongan Singapura yang telah sekian lama diberikan terhadap kehadiran Amerika di rantau ini, lapor The Straits Times (ST).
Pertemuan mereka, yang pertama antara seorang pegawai Kabinet daripada pentadbiran semasa Amerika, dengan Encik Wong, turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, kata Mindef.
Awal dari itu, Encik Chan dan Encik Hegseth mengadakan pertemuan sarapan pagi, dan turut mengulangi hubungan pertahanan dua hala yang amat baik dan kerjasama saling menguntungkan antara Singapura dengan Amerika.
Kerjasama itu berlandaskan Memorandum Persefahaman (MOU) 1990 yang membenarkan tentera Amerika menggunakan pangkalan udara dan laut Singapura.
MOU tersebut kali terakhir diperbaharui pada 2019 antara Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Kededua pemimpin itu turut bersetuju mengenai kepentingan penglibatan berterusan Amerika di Asia-Pasifik, yang penting demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, tambah Mindef.
Encik Hegseth memberitahu Encik Chan bahawa beliau menghargai sokongan tekal Singapura terhadap kehadiran tentera Amerika dan penglibatannya di rantau ini, termasuk kemudahan yang diberikan Singapura bagi penempatan pesawat dan kapal laut Amerika secara berjadual di sini, selain lawatan pelabuhan dan persinggahan pesawat.
Encik Chan pula menyatakan penghargaan atas sokongan Amerika yang sekian lama terhadap latihan SAF di Amerika, dan menyediakan akses teknologi kepada SAF, termasuk pemerolehan dan operasi jet pejuang F-35 oleh Tentera Udara Republik Singapura, tambah Mindef.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg