Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nenek durian ‘terlajak’ laris cuit hati pelanggan

Jul 18, 2025 | 2:51 PM
Cik Siti Noranini Mohd Yajib dan pemilik ‘The Durian Story’, Encik Jonathan Tee mengenali satu sama lain sejak lima tahun lalu tetapi ini kali pertama Cik Siti membantunya sebagai penjual durian.
Cik Siti Noranini Mohd Yajib dan pemilik ‘The Durian Story’, Encik Jonathan Tee mengenali satu sama lain sejak lima tahun lalu tetapi ini kali pertama Cik Siti membantunya sebagai penjual durian. - Foto BH oleh KHALID BABA

Jika kebiasaannya penjual durian dikaitkan dengan ‘apek’ bersinglet dan tuala di bahu, pemandangan berbeza pula di sebuah gerai durian di bawah sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Serangoon North Avenue 1.

Seorang makcik bertudung berusia 61 tahun mencuri perhatian ramai kerana gayanya yang ligat dan mesra memanggil pejalan kaki untuk singgah membeli raja buah itu.

Cik Siti Noranini Mohd Yajib yang sudah bergelar nenek kepada seorang cucu, baru sebulan bekerja di gerai ‘The Durian Story’, namun sudah berjaya memikat ramai pelanggan dengan gaya ramah dan semangat luar biasa. Lebih menarik, beliau sendiri seorang peminat tegar durian.

“Saya memang gila durian. Semua pasal durian saya tahu. Bila saya ditawarkan bekerja di sini, saya juga membaca lebih tentang durian dari Google, untuk pertingkatkan ilmu,” katanya, yang juga ibu kepada seorang anak berusia 39 tahun.

Menurut pemilik gerai tersebut, Encik Jonathan Tee, 37 tahun, kehadiran Cik Siti telah membawa ‘aura’ baru kepada perniagaannya yang sudah beroperasi selama lapan tahun.

“Beliau sangat bagus, rajin mendekati pelanggan, bergurau-senda dan dapat mempengaruhi mereka sampai mereka membeli durian saya!” puji Encik Tee.

Cik Siti yang tinggal berhampiran, mengenali Encik Tee melalui perniagaan makanan rumah kecil-kecilan yang diusahakannya. Kini, hubungan mereka bertukar – dari pelanggan kepada rakan sekerja.

“Beliau pelanggan saya, sekarang saya pula bekerja dengannya, jadi kami saling bantu-membantu,” ujar Cik Siti, yang juga aktif dalam kerja-kerja amal.

Tidak cukup dengan itu, Cik Siti juga memanfaatkan siaran langsung di Facebook (FB Live) untuk menjual durian – satu pendekatan moden yang ternyata membuahkan hasil.

“Saya ada ramai pengikut, jadi saya gunakan FB untuk berkongsi tentang durian yang saya jual. Ramai yang membuat tempahan, suruh saya ketepikan durian sebelum mereka datang, ada yang datang berulang kali.

“Ada juga pelanggan yang berbelanja sampai beribu dolar untuk durian!” kata Cik Siti dengan kagum.

Bercerita tentang jenis durian, Cik Siti tidak lokek berkongsi ilmu.

Katanya, durian paling mahal dan digemari ramai ialah jenis ‘Black Thorn’ yang boleh mencecah harga $30 hingga $35 sekilo.

“Rasa ‘Black Thorn’ bercampur pahit dan manis, tapi lemaknya semacam kastard,” jelasnya.

“Harganya mahal sebab susah nak hasilkan – kos pekerja, gangguan haiwan liar, dan kos pengangkutan semua main peranan.”

Durian popular lain termasuk ‘Black Gold’, ‘Old Tree Butter’, ‘Golden Phoenix’, ‘Musang King’, dan jenis ‘Red Prawn’ yang dikenali dengan isi kemerahan dan yang paling murah dalam kalangan semua jenis durian yang ada.

Menurutnya lagi, musim durian bermula sekitar Julai hingga akhir Ogos, dan sekali lagi pada Disember hingga Januari. Setiap hari, sekitar lima hingga enam bakul durian dari Pahang atau Johor akan tiba di gerai tersebut – setiap satu berisi kira-kira 50 biji durian.

“Gaya Cik Siti yang peramah dan positif, membuat ramai pelanggan tertarik untuk membeli darinya,” tambah Encik Tee.

Namun, tugas Cik Siti di gerai itu hanya sementara – hanya sehingga musim durian berakhir. Beliau akan kembali kepada perniagaan dari rumah (HBB) menjual sajian Melayu serta kerja sukarelanya.

“Saya juga suka membantu masyarakat dan menjadi pengasas kumpulan tidak ada keuntungan, ‘Sentuhan Kasih’ dalam usaha menjana dana buat mereka yang tidak berkemampuan atau dalam kesusahan,” jelasnya.

“Ada ramai yang perlukan bantuan, dan ramai juga dari daerah Serangoon di sini – jadi pada masa lapang, saya menumpukan tenaga untuk projek-projek ihsan,” kata Cik Siti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg