Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru menyusuli pelantikan Encik Ng Cher Pong.
Encik Ng, yang buat masa ini merupakan Ketua Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), telah dilantik sebagai CEO IMDA pada 15 Oktober, menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 23 September.
Encik Ng, 52 tahun, akan mengambil alih jawatan itu sepenuhnya mulai 1 November.
Beliau bakal menggantikan Encik Lew Chuen Hong, 49 tahun, yang telah memegang jawatan tersebut sejak Jun 2020, lapor The Straits Times (ST).
Sebelum memegang jawatan sebagai Ketua NLB, Encik Ng merupakan Ketua Eksekutif pengasas SkillsFuture Singapura dari 2016 hingga 2019, dan pada masa sama memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha (SkillsFuture) di Kementerian Pendidikan (MOE).
Cik Melissa-May Tam akan dilantik sebagai CEO baru NLB mulai 1 Oktober, sebelum mengambil alih jawatan itu sepenuhnya mulai 1 November.
Cik Tam, 54 tahun, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Beliau memulakan kerjaya di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 1994 dan telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam bidang penyelidikan dan analisis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg