Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan mengecualikan semua denda tertunggak sebelum 6 September dan menawarkan perkhidmatan penghantaran buku percuma kepada pengguna.
Ini sebagai usaha mengembalikan semangat orang ramai untuk suka dan mudah membaca.
Buat kali pertama, pengguna yang mempunyai denda tertunggak boleh meminjam semula buku mereka tanpa dikenakan denda buat sekali sahaja.
Manakala pengguna tetap boleh menikmati perkhidmatan Borrow-n-Deliver secara percuma, dengan 300 slot ditawarkan setiap minggu sehingga 31 Disember 2025.
Khidmat kiriman buku ini, pada umumnya, berharga $8.72.
Ini diumumkan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 6 September sempena sambutan ulang tahun ke-30 NLB di Bangunan Perpustakaan Negara.
“Ini kali pertama kami melakukannya dan ia adalah langkah yang tepat kerana kami mahu seramai mungkin rakyat Singapura mengakses perkhidmatan kami.
“Ia memberi mesej yang jelas bahawa NLB ingin mengalu-alukan semua orang kembali (menggunakan khidmat perpustakaan),” kata Cik Teo, sambil menambah pengecualian denda ini bertujuan membantu pengguna kembali ke perpustakaan dan berhubung semula dengan perkhidmatan NLB.
Dengan inisiatif ini, pengguna yang mempunyai denda tertunggak sebelum 6 September boleh meminjam bahan fizikal atau digital sehingga 31 Disember ini.
Selepas itu, denda mereka akan dikecualikan. Pinjaman semula tidak diambil kira.
Bagi mereka yang mempunyai buku atau bahan pinjaman, denda tidak akan dikenakan jika ia dikembalikan menjelang 14 September, dengan sekurang-kurangnya satu buku fizikal atau digital dipinjam hingga 31 Disember.
Khidmat penghantaran buku pinjaman ke rumah mula diperkenalkan pada 2023.
Perkhidmatan ini membolehkan sehingga empat bahan dihantar langsung ke rumah pengguna.
“Dengan menjadikan perkhidmatan ini percuma hingga hujung tahun (2025), sekurang-kurangnya 300 pengguna setiap minggu akan meraih manfaat. Kami berharap mereka akan menyebarkan berita ini dan membantu lebih ramai pengguna menerima manfaatnya,” tambahnya.
Di peringkat global, pendigitalan telah mengubah landskap pembacaan.
Fenomena ini turut dilihat di Singapura, di mana berita digital semakin menjadi pilihan ramai, khususnya golongan muda.
Satu tinjauan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 2024 mendapati kira-kira separuh daripada mereka yang berusia dari 15 hingga 34 tahun lebih banyak mendapatkan berita dalam talian.
Banyak perpustakaan dan arkib di luar negara menghadapi cabaran untuk kekal relevan, menghadapi pemotongan bajet, penurunan jumlah pengunjung dan permintaan terhadap perkhidmatan mereka.
“Perpustakaan dan arkib kita mesti lebih daripada sekadar pusat penyimpanan ilmu pengetahuan. Ia mesti mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan rakyat Singapura supaya pembelajaran dan penemuan tidak pernah berhenti.
“Melalui aplikasi NLB Mobile dan Libby, NLB menyediakan usulan peribadi yang disesuaikan dengan minat setiap pengguna... Sebaliknya, kami boleh memperkenalkan kandungan baru yang menyokong pembelajaran dan perkembangan mereka (pengguna),” jelas Cik Teo.
Beliau turut menekankan Perpustakaan Negara dan Arkib Negara perlu mencari cara baru untuk menghubungkan rakyat Singapura dengan Kisah Singapura, terutamanya apabila penggunaan kandungan semakin berubah.
Ketua Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong, pula berkata inisiatif ini mencerminkan pendekatan, ‘mengutamakan pengguna’ NLB.
“Capaian kukuh kami dalam kalangan rakyat Singapura amat memberangsangkan, dengan kira-kira tujuh daripada 10 orang menggunakan kemudahan, koleksi, perkhidmatan dan program kami pada 2024,” katanya lagi.
Kira-kira 1,400 kakitangan, alumni, sukarelawan, rakan kongsi dan pengguna NLB dari seluruh Singapura menghadiri sambutan ulang tahun ke-30 NLB itu, yang turut disiarkan secara langsung ke pelbagai cawangan perpustakaan, Arkib Negara dan bekas Kilang Ford.
Sebagai sebahagian sambutan tersebut, NLB melancarkan barangan kenangan untuk jualan, satu permainan kad baru, Chapters, dan sebuah penerbitan yang mendokumentasikan perjalanan transformasi Pelan Induk Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25), atau ‘Libraries & Archives Blueprint 2025


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg