NHB tubuh pejabat baru bantu rancak kawasan bersejarah
Sebuah Pejabat Projek Perwujudan Tempat (PPO) baru akan dibentuk oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk memperkasa identiti budaya serta menyemarak kawasan bersejarah Kampong Gelam, Little India dan Chinatown.
Pejabat itu bakal menjadi tulang belakang, menyokong pihak berkepentingan dan persatuan perniagaan di tiga kawasan tersebut.
Ia bertujuan membentuk ruang awam yang bertenaga, terangkum dan digerakkan masyarakat.
PPO akan berada di bawah Pasukan Petugas Silang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya, dipengerusikan bersama oleh Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan) Cik Low Yen Ling; serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ketika perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) di Parlimen pada 5 Mac, Cik Low berkata:
“Pejabat Projek ini akan bekerja rapat dengan pihak berkepentingan kawasan utama, seperti Perikatan Kampong Gelam (KGA), Persatuan Penjual dan Warisan Little India dan Persatuan Perniagaan Chinatown, untuk lebih memahami keperluan mereka dan memperkasa mereka bagi merancakkan kawasan tersebut.
“Di samping itu, Pejabat Projek tersebut akan menyediakan pembiayaan permulaan, menghubungkan kumpulan dengan agensi relevan, dan membina keupayaan untuk mereka, melaksanakan dan memperluaskan inisiatif perwujudan tempat.”
Pejabat itu akan memulakan pendekatan kepada pihak berkepentingan secara bertahap, bermula suku pertama 2026.
Cik Low turut menekankan perniagaan warisan memainkan peranan penting dalam menonjolkan keunikan kawasan bersejarah dan berfungsi sebagai denyut nadi masyarakat.
Beliau akur perancangan penggantian sering kali rumit dan bersifat peribadi.
Namun, agensi pemerintah akan tetap menghulurkan bantuan kepada perniagaan warisan yang berhasrat menyerahkan legasi mereka kepada generasi seterusnya.
Sebagai contoh, Rumah Makan Minang, sebuah restoran nasi padang keluarga yang diwarisi generasi ketiga, telah memanfaatkan Geran Transformasi Pertubuhan NHB.
Ini membolehkan mereka menyemak dan menyusun semula peranan perniagaan keluarga itu, demi kelangsungan jangka panjang.
NHB juga akan bekerjasama dengan sukarelawan dalam kalangan rakyat untuk merakamkan perniagaan warisan serta sumbangan mereka sebagai sebahagian daripada Projek Pendekatan Rakyat Little India.
Mereka yang berminat boleh menantikan pengumuman NHB yang akan diumumkan menjelang Mei 2026.
“Usaha ini mengingatkan kita bahawa warisan kekal bertahan bukan sahaja kerana ia dipelihara oleh institusi, bahkan kerana ia terus dihidupkan oleh orang ramai,” kata Cik Low.

