Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Niat ‘ambil angin’ tukar tragedi, penunggang motosikal maut di CTE

Allahyarhamha Sarah Nadia pelukis muda berbakat, pernah terima Anugerah Seniman Muda Berpotensi dalam pameran anjuran Kamal Arts, Wisma Geylang Serai
Jul 10, 2024 | 3:36 PM
Allahyarhamha Sarah Nadia Aidil Tamzil, 26 tahun, dikatakan menunggang motosikal apabila beliau dipercayai terbabas di sepanjang Ekspreswe Central (CTE) menghala ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) berhampiran susur keluar Bukit Merah pada 3.25 pagi, 5 Julai. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Allahyarhamha Sarah Nadia Aidil Tamzil, 26 tahun, dikatakan menunggang motosikal apabila beliau dipercayai terbabas di sepanjang Ekspreswe Central (CTE) menghala ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) berhampiran susur keluar Bukit Merah pada 3.25 pagi, 5 Julai. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). - Foto AIDIL TAMZIL TAHA

Ia sepatutnya merupakan rondaan melalui motosikal secara santai bagi Sarah Nadia Aidil Tamzil, 26 tahun, untuk berjumpa rakannya.

Namun, malang tidak berbau setelah beliau terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawanya pada awal pagi 5 Julai.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon baru-baru ini, ayah arwah, Encik Aidil Tamzil Taha, 54 tahun, menyatakan Allahyarhamha Sarah Nadia memberitahu beliau bahawa arwah ingin ambil angin sekitar 1 pagi dan bertemu rakannya.

Beliau berkata: “Arwah kata nak keluar sebentar sekitar 1 pagi untuk ambil angin sejam dua dan jumpa kawan di kawasan barat.

“Beliau melakukan perjalanan dari kediamannya di Yishun dan ingin ke Jurong.

“Saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Polis Trafik (TP) sekitar 5 pagi. Panggilan pertama saya tak angkat.

“Saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena dan apabila saya balas panggilan itu, pegawai TP maklumkan saya arwah terlibat dalam kemalangan dan sudah tiada.”

Dalam jawapannya kepada BH, polis menyatakan ia dimaklumkan tentang nahas melibatkan motosikal yang dipercayai terbabas di sepanjang Ekspreswe Central (CTE) menghala ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) berhampiran susur keluar Bukit Merah pada 3.25 pagi, 5 Julai.

Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan siasatan sedang dijalankan, tambah polis.

Encik Aidil menyifatkan arwah, anak kedua lima beradik – termasuk seorang adik tiri – sebagai seorang yang gemar bersukan dan berbakat dalam seni.

Malah, beliau sempat menghasilkan karya yang dihadiahkan kepada abangnya baru-baru ini dan ia kini terpampang megah di dinding rumah abangnya, jelas Encik Aidil.

Minat dan bakat dalam seni itu menyerlah dan dilaporkan sebelum ini dalam BH pada Disember 2021.

Laporan itu menyatakan arwah dipilih sebagai penerima Anugerah Seniman Muda Berpotensi dalam pameran, SeniKita, kendalian Kamal Arts dan Wisma Geylang Serai (WGS) bagi karya bertajuk, Fresh Start 1 dan Fresh Start 2.

Presiden Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Cik Masturah Shaari, berkongsi kepada BH, arwah adalah anggota Apad dan menyifatkannya sebagai pelukis berbakat dengan gaya tersendiri.

“Saya dapat lihat beliau melukis dengan gaya tersendiri. Arwah berbakat dalam lukisan, khususnya dalam lukisan minyak,” tambah Cik Masturah.

Mengimbas kembali pencapaiannya, Allahyarhamha Sarah Nadia pernah berkongsi dengan BH dalam laporan pada Oktober 2021 bahawa beliau gigih berlari dalam sukan pecut di balapan tatkala menuntut di Sekolah Sukan Singapura pada usia belasan tahun.

Beliau kemudian beralih ke Politeknik Republic (RP) bagi mengambil kursus Diploma Sains Bioperubatan.

Namun, hanya sepenggal menelaah kursus itu, beliau berasa ia bukan kecenderungannya, lantas mengambil keputusan ke Maktab Seni Lasalle untuk mengambil Diploma Seni Halus.

Jenazah Allahyarhamha selamat dikebumikan di Pusara Aman pada 5 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg