Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Niat penuhi amanah arwah ibu, banggakan bapa corak remaja jadi pelajar cemerlang GCE ‘N’

Pelajar peka tentang keperluan golongan istimewa, atasi disleksia untuk jadi pendorong rakan lain
Dec 19, 2025 | 4:05 PM
Puteri Haz Diyanah menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ dengan keputusan cemerlang, malah muncul sebagai antara pelajar terbaik.
Puteri Haz Diyanah menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ dengan keputusan cemerlang, malah muncul sebagai antara pelajar terbaik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun kehilangan ibunya pada usia 11 tahun dan berdepan dengan kondisi pembelajaran disleksia, Puteri Haz Diyanah Mohamad Nazri, berjaya mengatasi kesukaran dalam pelajaran melalui usaha gigih. 

Tekadnya mengenang jasa arwah ibunya yang meninggal dunia kerana penyakit kencing manis terus menjadi dorongan untuk meraih keputusan cemerlang.

Puteri menjelaskan dirinya juga ingin membanggakan bapanya, Encik Mohamad Nazri, 51 tahun, pemandu kereta swasta, yang membesarkannya dan dua abangnya, Encik Daniel, 24 tahun, seorang pegawai keselamatan, dan Danish, 17 tahun, yang masih belajar, sendirian.

Faktor-faktor ini menjadi pendorong buatnya memberikan sebaik mungkin dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’, yang didudukinya tahun ini (2025).

Ternyata, pelajar aliran Normal (Teknikal) di Sekolah Menengah Yuhua ini, berjaya mencapai impiannya.

Puteri, 16 tahun, anak bongsu tiga beradik, meraih markah tertinggi dalam peperiksaan tersebut, malah konsisten berada di tiga tangga teratas kelasnya selama tiga tahun berturut-turut.

Ketika keputusan GCE Peringkat ‘N’ diterimanya, dia yang juga anggota Majlis Pelajar dan menyertai Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC) sebagai Kegiatan Kokurikular (CCA) cukup gembira usahanya berhasil.

Kata Puteri, yang pernah menjadi Duta Pelajar untuk berinteraksi dengan pelajar sekolah berkeperluan khas dari segi intelek, Sekolah Grace Orchard:

“Saya mengalami disleksia yang menjejas kecekapan saya dalam bahasa. Bagi mengatasi kesulitan ini, saya melipatgandakan usaha saya dan pastikan latihan yang saya buat melebihi daripada kebiasaan rakan lain.

“Meskipun saya ada masalah bahasa, saya senang memahami formula Matematik.”

Dalam pada itu, dia juga prihatin tentang teman-temannya.

“Saya peka terhadap keadaan teman-teman dan selalu menyokong rakan sekelas yang menghadapi masalah dan tidak hadir di sekolah sejak di Menengah 1 lagi.

“Seorang rakan karib saya kerap ponteng sekolah.

“Kerana bimbangkan keadaannya, saya terdorong menghubunginya setiap malam bagi menggalakkannya kembali ke sekolah.

“Jika ada buku yang perlu diambil dari guru, saya akan pastikan saya menghantarkannya kepadanya.

“Dia kawan saya, dan saya tidak mahu melihatnya dibelenggu keresahan dan gagal dalam peperiksaan GCE Peringkat ‘N’ ini.”

Ditanya mengenai faktor jaya, Puteri menjelaskan disiplin diri dan pengurusan masa penting.

Dia sering menyiapkan kertas latihan tambahan GCE Peringkat ‘N’ selepas waktu sekolah sebagai latihan.

Sikap tekun dan semangat ingin belajar yang membara juga membolehkannya mengekalkan prestasi cemerlang, sambil terus memberikan sokongan kepada rakan-rakan.

Dalam aspek kepimpinan, Puteri menyerlah sebagai satu-satunya pelajar aliran Normal (Teknikal) dalam kohortnya yang menyertai Majlis Pelajar di Sekolah Menengah Yuhua, setelah digalakkan oleh gurunya, Cik Salmi Salim. 

“Saya pernah membantu rakan-rakan berkeperluan khas semasa Kem Menengah 3 dan kemudian dilantik sebagai Duta Pelajar ke Sekolah Grace Orchard,” katanya.

Pada 2025, usaha gigihnya diiktiraf menerusi Anugerah Sterling (Aplikasi Komputer), Anugerah Flourish (Kemajuan), Pelajar Prestasi Terbaik Aliran Normal (Teknikal) serta Anugerah Sahsiah Yuhua, yang diterima hasil undian rakan-rakan sekelasnya.

“Saya bersyukur diterima masuk ke kursus Nitec Lanjutan bagi Pentadbiran Perniagaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat melalui Skim Kemasukan Awal,” jelas remaja tabah, berdisiplin dan suka membantu orang ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg