Jadikan masa keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.
Acara, ‘Lights by the Lake’, kembali diadakan dengan pembukaan semula Taman Cina dan Taman Jepun baru-baru ini.
Sambutan bagi menyambut Festival Pertengahan Musim Luruh itu adalah edisi tahunan ketiga dan terbesar pernah diadakan sejauh ini.
Selain di Taman Lakeside, pengunjung boleh melihat hiasan bercahaya di kededua taman yang diperbaharui itu. Secara keseluruhan, tiga ruang hijau tersebut membentuk Taman Tasik Jurong.
Dalam acara itu, kanak-kanak boleh belajar tentang legenda Cina seperti, Nezha Dan Raja Naga, inspirasi di sebalik salah satu daripada enam tanglung yang dipamerkan di Taman Lakeside.
Pengunjung yang menyeberangi Jambatan Pelangi Putih ke Taman Cina akan disambut oleh seni pemasangan naga dan burung phoenix.
Terdapat lima set tanglung lain di sini, termasuk satu yang direka mengikut instrumen orkestra Cina.
Sementara itu di Taman Jepun, terdapat tiga tanglung haiwan gaya origami dan beberapa gerbang bunga.
Tanglung dinyalakan dari 6.30 petang hingga 10 malam setiap hari hingga 22 September.
Masuk percuma. Ketahui lebih lanjut di pautan, lightsbythelake.nparks.gov.sg.
Taman permainan burung undan dan naga yang ikonik dari 1980-an kini ada di Gardens by the Bay. Tetapi kanak-kanak tidak boleh memanjatnya.
Ia adalah antara sembilan seni pemasangan tanglung di acara Festival Pertengahan Musim Luruh percuma di tarikan itu yang berlangsung hingga 22 September.
Hiasan itu dipamerkan di lokasi luar Gardens by the Bay – termasuk Supertree Grove, The Meadow dan Golden Garden – dan dinyalakan dari 6 petang hingga 10 malam setiap hari.
Peminat ilustrator tempatan, Lee Kow Fong, yang lebih dikenali sebagai Ah Guo, boleh melihat watak terkenalnya, Kiddo, Xiao P dan MoMo, menghiasi lokasi itu.
Di Dragonfly Lake, lihat set tanglung terapung yang direka oleh Ah Guo. Bertajuk, ‘Perayaan’, ia menampilkan makanan ringan tradisional seperti biskut kuih bulan.
Semasa Festival Pertengahan Musim Luruh, yang jatuh pada 17 September, kumpulkan tanglung percuma yang menampilkan Kiddo dan rakan-rakan dari 6 petang di Bilik Cannonball berhampiran Supertree Grove.
Ah Guo akan mengadakan sesi autograf dari 7 hingga 7.45 malam di sana.
Lungsuri laman web, gardensbythebay.com.sg/midautumn, untuk butiran lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg