Nikmati ‘perjalanan seni’ di stesen MRT TEL4
Stesen-stesen MRT di sepanjang Laluan Thomson-East Coast Peringkat 4 (TEL4), merupakan laluan terkini MRT yang dihiasi dengan sentuhan hasil kerja seni artis tempatan di bawah program Seni dalam Ruang Transit (AIT).
Bermula pada 1997 di laluan MRT Timur Laut (NEL), AIT merupakan pameran seni awam terbesar di Singapura, yang menyaksikan artis tempatan ditugaskan untuk mencipta karya seni asli untuk stesen MRT, sekali gus memberi peluang kepada artis meraikan sejarah dan masyarakat tempatan Singapura.
Program AIT meningkatkan pengalaman perjalanan sehari-hari bagi berjuta penumpang dengan seni artis tempatan menimbulkan perasaan ingin tahu dalam diri penumpang MRT.
AIT juga merupakan wadah untuk mengetengahkan hasil karya seni artis tempatan dan memberi peluang kepada masyarakat menghargai dengan lebih mendalam tentang sejarah sesuatu kawasan di stesen MRT melalui karya seni yang dihasilkan.

