Nikmati sajian lazat sambil derma kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu
Nikmati sajian lazat sambil derma kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu
USTAZ MOHAMAD NOOR SAMAT
Masjid Alkaff Kampung Melayu memperkenalkan daya usaha ‘Weekend Roast’, satu projek yang menggabungkan pengalaman menikmati hidangan ala Barat dengan usaha mengumpul dana bagi Projek Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu (MUP).
Idea ‘Weekend Roast’ bermula apabila seorang anggota emaah masjid mencadangkan pertemuan bersama Encik Azhar Kassim, pemilik syarikat Fazz Urban Farm, yang menyediakan hidangan Barat seperti kaki kambing bakar (Roasted Leg of Lamb) dan rusuk lembu bakar (Roasted Beef Rib).
Setelah berbincang bersama Fazz Urban Farm, penulis mencadangkan agar menjadikan sajian istimewa ini sebagai projek dana bagi menambah baik kemudahan masjid.
Pihak Fazz Urban Farm menyambut baik cadangan itu.
“Kami mula berniaga di pasar Bedok Reservoir dan sudah mesra dengan penduduk di sini. Jadi, projek ini adalah lanjutan daripada ukhuwah kami dengan masjid di kawasan ini,” ujar Encik Azhar.
Pada awalnya, ‘Weekend Roast’ ditawarkan hanya pada hujung minggu bagi memudahkan majlis keramaian seperti jamuan keluarga, majlis berbuka puasa atau perkahwinan.
Namun kini, perkhidmatan itu boleh dinikmati setiap hari, terbuka bukan sahaja kepada masyarakat Islam bahkan syarikat dan kumpulan lain yang ingin menganjurkan majlis ‘high tea’ (minum lewat petang) atau acara keramaian.
Sambutan setakat ini dilaporkan agak menggalakkan, tetapi pihak masjid mengakui promosi yang lebih agresif masih diperlukan bagi menambah dana projek peningkatan masjid yang sedang berjalan.
Bagi keluarga yang ingin menjadikan iftar/buka puasa lebih mudah dan bermakna, ‘Weekend Roast’ menyediakan kemudahan tempahan secara dalam talian.
Orang ramai hanya perlu memilih hidangan, tarikh dan masa melalui pautan atau kod QR yang disediakan, lengkap dengan nama, nombor telefon, alamat serta pembayaran yang dilakukan secara PayNow.
Hidangan kemudian dihantar terus ke rumah mengikut pilihan tempahan.
Setiap set ini berharga $185, termasuk penghantaran.
Yang nyata, setiap pembelian bukan sahaja memudahkan keluarga berbuka puasa, malah turut menyumbang kepada pembangunan masjid.
Kerjasama antara pihak masjid dengan Fazz Urban Farm memastikan setiap tempahan menyokong dana projek peningkatan masjid secara langsung.
Harapan pihak masjid adalah agar daya usaha itu berterusan dalam jangka panjang, menjadi satu sumber dana yang stabil sambil mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Bagi keluarga Muslim yang ingin menjadikan ‘Weekend Roast’ sebahagian daripada suasana iftar 2026 ini, jadikan waktu berbuka lebih bermakna, sambil menyumbang kepada pembangunan masjid yang kita cintai ini.
‘Weekend Roast’ bukan sekadar hidangan istimewa, malah satu cara berkongsi rezeki dan menyokong masyarakat dan menjadikan setiap iftar anda lebih istimewa dan bererti.
Penulis merupakan Ketua Pembangunan Masyarakat di Masjid Alkaff Kampung Melayu.


