Menunaikan ibadah haji adalah satu keutamaan dan amalan suci buat sebilangan umat Islam di merata dunia.
Sayangnya, masih ada jemaah termasuk di Singapura, yang terdesak ingin menyegerakan haji sehingga mencari jalan tidak rasmi menunaikannya kerana enggan terikat pada ketetapan negara masing-masing.
Inilah perkara yang disedari Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian, Encik Nizam Ismail, 58 tahun, pada 2024, apabila beliau dimaklumkan seorang kenalannya, warga Singapura yang mengerjakan haji tanpa menggunakan pakej haji yang diluluskan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Sebaliknya, kenalan itu menjalani haji dengan menggunakan kaedah yang dikenali sebagai ‘Pakej haji VIP’.
Setelah berbulan lamanya cuba menyelongkar perkara ini dengan menelefon dan mengirim pesanan kepada individu terlibat, Encik Nizam, yang mempunyai pengalaman 35 tahun dalam dunia kewartawanan, berjaya mengumpul maklumat untuk hasilkan laporan, ‘Pakej haji ‘VIP’: Hakiki atau Mimpi’, yang disiarkan di Berita Minggu (BM) pada 20 November 2024.
Hasil usahanya itu, bapa empat anak lelaki berusia 20-an tahun itu, telah disampaikan dengan Anugerah Wartawan Terbaik dan Berita Terbaik, pada majlis penyampaian Anugerah Tahunan Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media Trust 2025, di Auditorium SPH, pada 4 April.
Encik Nizam berkata: “Segalanya bermula apabila saya terdengar daripada kenalan saya, yang tidak menggunakan pakej MUIS, tetapi menggunakan pakej yang dipanggil ‘pakej VIP’.
“Ia mengambil masa tiga bulan untuk meyakinkan seseorang berkongsi maklumat degan saya tentang pakej apa yang mereka ambil, dan berapa ribu dolar dihabiskan untuk pakej tersebut.”
Beliau turut berkongsi betapa sukarnya mendapat bahan cerita untuk dilaporkan, kerana isu yang amat sensitif itu.
“Bukan mudah untuk meyakinkan orang-orang yang terbabit kerana mereka tidak mahu mendedahkan diri mereka. Mereka juga sedar apa yang mereka telah lakukan tidak mengikut undang-undang,” kata Encik Nizam.
Setelah lebih tiga dekad bekerja sebagai wartawan, kemenangan ini merupakan anugerah tahunan kedua bagi Encik Nizam, sejak 1994. Pada tahun tersebut, beliau memenangi Anugerah Berita Terbaik bagi liputan berita siasatan, ‘Ustaz Kahwin 11’.
“Saya harap dengan pengalaman saya, saya dapat menjadi inspirasi kepada generasi wartawan muda yang lain,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg