Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Otai’, wartawan baru BH bentang kisah masyarakat, raih anugerah EMTM

Editor BH: Legasi kecemerlangan kewartawanan di akhbar ini berterusan dari generasi ke generasi
Apr 4, 2025 | 10:08 PM
Wartawan, Cik Nur’Ashiqin Ramadan (kiri); wartawan video Encik Abdul Qayyum Sarip (tengah); dan Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Encik Nizam Ismail, menghargai sokongan rakan lain yang membantu sepanjang mereka membereskan liputan berita, baik ‘Pakej haji ‘VIP’: Hakiki atau Mimpi?’ dan ‘Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’. Tiada dalam gambar ialah penerbit media sosial, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, yang turut menyumbang pada penerbitan dokumentari tersebut.
Wartawan, Cik Nur’Ashiqin Ramadan (kiri); wartawan video Encik Abdul Qayyum Sarip (tengah); dan Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Encik Nizam Ismail, menghargai sokongan rakan lain yang membantu sepanjang mereka membereskan liputan berita, baik ‘Pakej haji ‘VIP’: Hakiki atau Mimpi?’ dan ‘Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’. Tiada dalam gambar ialah penerbit media sosial, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, yang turut menyumbang pada penerbitan dokumentari tersebut. - Foto BH oleh DIYANA TAHA

Baik yang veteran dan berpengalaman mengumpul bahan berita, mahupun yang masih baru dalam dunia kewartawanan, semuanya dihargai dalam Anugerah Tahunan Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media Trust 2025, yang berlangsung di Auditorium SPH pada 4 April.

Sebanyak 19 anugerah disampaikan kepada karyawan media daripada Berita Harian (BH), The Straits Times (ST), The Business Times (BT), Tech in Asia, SPH (Singapore Press Holdings) Radio, dan Tamil Murasu (TM).

Seramai 15 wartawan BH telah dicalonkan bagi tiga kategori – Anugerah Wartawan Terbaik, Anugerah Berita Terbaik dan Anugerah Impak Digital Terbaik. 

Seorang penerima anugerah merupakan wartawan veteran dengan pengalaman 35 tahun di BH, manakala tiga lagi merupakan wartawan muda, yang secara keseluruhan hanya memiliki pengalaman sekitar lima tahun di akhbar ini.

Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Encik Nizam Ismail, dinobat sebagai Wartawan Terbaik BH bagi 2025, selain merangkul anugerah Anugerah Berita Terbaik, menerusi laporannya Pakej haji ‘VIP’: Hakiki atau Mimpi?.

Tiga wartawan BH yang lain – wartawan video, Encik Abdul Qayyum Sarip; penerbit media sosial, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, dan wartawan, Cik Nur’Ashiqin Ramadan, memenangi Anugerah Impak Digital bagi dokumentari Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami.

Mengulas kemenangannya, Encik Nizam, 58 tahun, berkata transformasi yang berlaku di BH sejak Jun 2023, telah memberikannya semangat untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang kewartawanan, meskipun sudah lebih tiga dekad bertugas di BH.

Kemenangan beliau ini merupakan kemenangannya yang kedua sepanjang kerjayanya di BH, sejak anugerah pertamanya, Anugerah Berita Terbaik pada 1994, untuk berita siasatan, ‘Ustaz Kahwin 11’.

“Kemenangan ini bukan sahaja untuk diri saya sendiri, tetapi untuk Berita Harian juga. Tanpa pasukan BH yang baik, saya tidak mungkin akan menang anugerah ini. Ini adalah kemenangan Berita Harian,” kata Encik Nizam.

Walaupun sudah lebih tiga dekad bekerja di dalam bilik berita, Encik Nizam sentiasa memegang teguh pendiriannya dan etika kewartawanan dalam menyampaikan berita yang benar, tepat dan relevan bagi masyarakat Melayu/ Islam di Singapura.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata pencapaian BH pada majlis anjuran EMTM itu mencerminkan kepelbagaian bakat yang ada di bilik berita dan bagaimana legasi kecemerlangan kewartawanan akhbar ini berterusan dari satu generasi wartawan ke generasi seterusnya.

“Nizam Ismail ialah seorang wartawan serba berpengalaman yang bukan sahaja berupaya menghasilkan laporan-laporan berkesan untuk masyarakat Melayu/Islam, malah laporannya mendorong audiens berfikir lebih mendalam mengenai sesuatu isu,” kata Encik Nazry.

“Pasukan BH yang menghasilkan video dokumentari penuh sempena ulang tahun ke-20 bencana tsunami di Aceh telah menetapkan mutu tinggi dan memaparkan keupayaan baru BH dalam wadah berbilang media.

“Saya harap kemenangan ini akan mendorong kakitangan bilik berita untuk meningkatkan lagi mutu kandungan demi memenuhi cita rasa pembaca dan penonton kandungan kami,” tambah beliau.

Pemenangnya ditentukan oleh undian panel editor Berita Harian. Pemenang anugerah tahunan menerima trofi dan wang tunai $2,000 bagi setiap kategori.

Saya harap kemenangan ini akan mendorong kakitangan bilik berita untuk meningkatkan lagi mutu kandungan demi memenuhi cita rasa pembaca dan penonton kandungan kami.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg