Topik diikuti
Pergi ke BHkuNLB lancar gerakan ReadSG pada Sept, pupuk amalan membaca
NLB lancar gerakan ReadSG pada Sept, pupuk amalan membaca
NLB lancar gerakan ReadSG pada Sept, pupuk amalan membaca
Satu gerakan nasional bagi memupuk amalan membaca secara kerap, sekurang-kurangnya 15 minit sehari, di kalangan warga akan dilancarkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada September.
Di bawah gerakan lima tahun bernama ReadSG itu, NLB akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membawa amalan membaca kepada warga di setiap peringkat umur.
NLB juga akan mengkaji perkara yang mendorong amalan membaca dalam masyarakat berbeza agar dapat membentuk inisiatif membaca untuk generasi akan datang.
Mengumumkan demikian dalam taklimat media pada 28 Julai, NLB berkata ReadSG akan dilancarkan secara rasmi pada 6 September, seiring permulaan Bulan Membaca Nasional yang diadakan buat julung kali.
Bercakap kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLB, Cik Melissa Tam, berkata ReadSG dilancarkan sebagai respons kepada amalan membaca yang berubah dalam era digital.
Menukil Kajian Tabiat Membaca Kebangsaan 2024, Cik Tam berkata sedang 89 peratus responden dewasa berkata mereka membaca lebih sekali seminggu, hanya 28 peratus membaca buku.
Selain itu, di peringkat global, terdapat peralihan kepada kandungan ringkas dan mudah dibaca sepintas lalu (skimmable) yang semakin menjauhkan orang ramai daripada bacaan yang membangunkan pemikiran kritis dan kebijaksanaan, kemahiran yang diperlukan bagi dunia hari ini dan akan datang.
“Membaca ibarat satu otot. Apabila diamalkan secara konsisten, ia menguatkan keupayaan kita untuk memberi tumpuan, menyerap maklumat, berfikir secara kritis, berimaginasi dan memahami dunia di sekeliling kita. Namun, jika tidak digunakan secara kerap, keupayaan itu akan menjadi lemah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLB, Cik Melissa Tam.
“Melalui ReadSG, kami berharap rakyat Singapura akan menjadikan membaca sebagai satu tabiat sepanjang hayat yang menyeronokkan, yang dapat memupuk minda yang ingin tahu, pemikiran yang mendalam serta melahirkan warga yang berpengetahuan,” tambahnya.
Antara inisiatif yang akan dijalankan dalam Bulan Membaca Nasional ialah Cabaran ReadSG yang menghendaki peserta membaca 15 minit sehari selama sekurang-kurangnya 15 hari dalam sebulan.
Mereka boleh merakam sesi membaca harian mereka di wadah Tugasan AwamSG atau CrowdTaskSG untuk mengumpul syiling maya yang kemudian boleh ditukar kepada wang tunai.
Orang ramai juga boleh menyertai usaha mengumpul dana NLB, Baca untuk Kebaikan atau Read for Good, yang mana setiap 15 minit yang diluangkan membaca sehari akan membantu mengumpul dana untuk badan amal seperti Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds).
NLB menyasarkan 150,000 orang mengambil bahagian dalam kedua-dua inisiatif itu.
NLB juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan syarikat swasta lain agar dapat menyesuaikan programnya dan menjangkau orang ramai di peringkat kehidupan yang berbeza.
Sementara itu, semasa acara pelancaran ReadSG, orang ramai boleh menyertai kegiatan membaca beramai-ramai selama 15 minit, dengan buku untuk semua peringkat umur disediakan.
Kegiatan lain berkaitan membaca yang boleh dijangkakan termasuk sesi bercerita, sesi berkongsi buku, dan persembahan tarian yang diilhamkan buku.
Pelbagai kegiatan berkaitan membaca juga boleh dijangkakan sepanjang bulan di perpustakaan serata negara.
Gerakan ReadSG menggantikan Gerakan Membaca Kebangsaan yang dilancarkan pada 2016.