Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NLB tawar ruang bacaan dekati pembaca di 7 lokasi awam

Nov 14, 2025 | 5:06 PM
NLB, nod sit-n-read, membaca, tempat awam
Ruang bacaan, ‘Nod Sit-n-Read’, kelolaan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menawarkan lebih 3,000 buku terpakai untuk sesiapa sahaja membaca atau membawanya pulang. - Foto LEMBAGA PERPUSTAKAAN NEGARA

Penat berjalan dan membeli-belah?

Kini, anda boleh berehat sebentar sambil membaca buku di ruang yang disediakan di pusat beli-belah.

Tujuh pusat beli-belah dan perusahaan sosial di seluruh Singapura kini bekerjasama dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk menempatkan ruang, Nod Sit-n-Read, baru.

Ia merupakan ruang layan diri yang selesa, menawarkan lebih 3,000 buku terpakai buat sesiapa sahaja membaca atau ingin membawanya pulang.

Menurut laporan The Straits Times (ST), ruang itu menampilkan kededua buku cereka dan bukan fiksyen, yang akan diperbaharui secara berkala, buat golongan dewasa dan kanak-kanak, sebagai usaha terkini untuk mendekatkan kegiatan membaca dengan masyarakat.

Menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 14 November, ruang sedemikian akan beroperasi untuk tempoh beberapa bulan hingga setahun, bergantung pada lokasi.

Setakat ini ia terletak di AMK Hub, Margaret Market, Safra Punggol, Safra Yishun, The Caffeine Experience at The URA Centre, The Centrepoint dan The Star Vista.

MDDI, yang menyelia NLB, menambah bahawa ruang layan diri di lokasi itu kecuali The Caffeine Experience, turut menawarkan sumber digital seperti khidmat eResources.

Khidmat eResources merangkumi kemudahan skrin eReads dan paparan MagNode.

Ia membolehkan pengunjung mengimbas kod QR untuk mengakses buku, majalah dan surat khabar secara elektronik dengan mudah.

Setiap ruang menawarkan kira-kira 400 buku, dengan beberapa lokasi terpilih termasuk AMK Hub, Safra Punggol, Safra Yishun, The Centrepoint dan The Star Vista, menyediakan buku dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil.

Lokasi The Caffeine Experience menampilkan koleksi bacaan buat orang dewasa yang disesuaikan khusus buat pekerja.

Perabot di ruang berkenaan sebahagiannya diperoleh semula daripada perpustakaan dan acara NLB sebelum ini sebagai sebahagian usaha kelestarian.

Pembaca tidak perlu meminjam buku secara rasmi dan dibenarkan membawanya pulang.

Namun, mereka digalakkan mengembalikan buku itu setelah selesai menggunakannya supaya orang lain juga dapat memanfaatkannya.

Lebih 25,000 pengunjung telah menggunakan ruang, Nod Sit-n-Read, sejak ia mula dibuka secara berperingkat pada Ogos 2025.

NLB berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mewujudkan ruang membaca yang lebih mudah diakses.

“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, nod (ruang) kami telah mendekatkan bahan bacaan kami kepada orang ramai dan menggalakkan semua untuk menjadikan kegiatan membaca sebagai sebahagian kehidupan mereka.

“Dengan Nod Sit-n-Read, kami juga berhasrat memberi buku terpakai kami peluang kedua sambil memupuk budaya membaca sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat,” kata Ketua Eksekutif NLB, Cik Melissa-May Tam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg