Mencampuradukkan politik dengan agama tidak boleh diterima sama sekali di Singapura, dan rakyat Singapura mesti dengan tegas menolak politik identiti, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Politik identiti merujuk kepada calon dan Anggota Parlimen (AP) yang merayu sokongan penduduk atas dasar kaum atau agama, dan memperjuangkan kepentingan kumpulan tertentu berbanding kumpulan dan perkara-perkara lain.
Bercakap pada sidang media pada 26 April, PM Wong berkata kekuatan terbesar Singapura ialah perpaduannya merentasi kaum dan agama.
Beliau berkata jika satu kumpulan mendesak secara agresif untuk menegaskan identitinya, kumpulan yang lain juga akan memberi tindak balas.
“Anda boleh melihat bagaimana ini berlaku di negara lain. Anda akhirnya menyemarakkan kecenderungan terburuk, permusuhan dan perasaan dendam dalam kalangan masyarakat. Tiada siapa yang menang jika ini berlaku.
“Kumpulan minoriti akan gagal dengan apa yang mereka mahu, kerana kumpulan majoriti akan menolak dengan kuat, dan kumpulan minoriti akan melihat bahawa ruang mereka akan lebih tersekat,” katanya.
PM Wong berkata demikian sehari selepas pemerintah bertindak menyekat akses kepada siaran Facebook oleh dua ahli politik Malaysia dan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana cuba campur tangan dalam pilihan raya yang sedang berlangsung di Singapura.
Mengulas tentang langkah yang telah dibuat oleh pemerintah itu, PM Wong berkata ketiga-tiga warga asing itu telah “melampaui batas” kerana hantaran mereka di media sosial menyasar rakyat Singapura, dan telah disebar luas dalam kalangan masyarakat Singapura.
“Rakyat Singapura mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang pelbagai isu, tetapi kita tidak boleh membenarkan pelaku luar mengeksploitasi apa sahaja perbezaan yang kita ada, untuk melemahkan kita atau untuk memajukan kepentingan mereka sendiri.
“Politik Singapura mestilah (bagi) rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan. Oleh itu, kami telah menyekat akses kepada siaran itu, dan kami akan terus bertindak tegas terhadap sebarang tindakan sedemikian,” katanya.
Walaupun Singapura menolak identiti politik, PM Wong menjelaskan bahawa tidak semestinya rakyat Singapura tidak boleh melibatkan diri dan menangani keperluan masyarakat yang berbeza, atau bercakap tentang bangsa dan agama.
Malah, beliau menekankan bahawa beliau sendiri mendekati pelbagai masyarakat agar pemerintah dapat lebih memahami kebimbangan dan keperluan masyarakat yang pelbagai.
Ini, katanya, agar pemerintah dapat menangani kebimbangan dan isu dengan cara yang meluaskan persamaan dan mengukuhkan masyarakat Singapura.
Dengan Hari Mengundi bakal tiba pada 3 Mei, PM Wong mengingatkan rakyat Singapura serta parti politik bahawa mencampuradukkan politik dengan agama tidak boleh diterima di Singapura dan Singapura akan sentiasa mengambil pendirian tegas terhadap perkara ini.
“Pertama, ia memecahkan ruang bersama yang kita kongsi sebagai rakyat Singapura. Kedua, apabila pilihan raya menjadi pertandingan agama, semua masyarakat dalam masyarakat kita akan menjadi lebih teruk.
“Ketiga, kuasa luar akan berusaha untuk meneroka garis sesar ini untuk memajukan agenda mereka sendiri, dan seperti yang telah kita lihat, cabaran dan ancaman ini sangat nyata,” kata PM Wong, sambil menggesa parti politik memperjelas pendirian mereka dalam isu tersebut.
Menjawab soalan Berita Harian (BH) bagaimana para AP Melayu/Islam dapat terus mendengar keprihatinan masyarakat Melayu/Islam, tanpa melihatnya sebagai mencampuradukkan isu bangsa dan agama, PM Wong berkata para AP perlu terus mendekati mereka dan menyuarakan kebimbangan mereka, jika perlu, di Parlimen.
PM Wong berkata: “Ini adalah sah dan merupakan perkara yang harus dilakukan oleh semua AP.
“Tetapi apabila bercakap tentang politik identiti...memperjuangkan kepentingan kumpulan berlawanan kepentingan lain... kita akan berakhir dengan masyarakat yang berpecah belah,” katanya.
“
Politik identiti bermakna calon dan AP cuba mendapat sokongan atas dasar kaum dan agama, dan memperjuangkan kepentingan kumpulan tertentu melebihi kumpulan lain dan perkara lain. Ini berbahaya kerana jika satu kumpulan mendesak secara agresif untuk menegakkan identitinya, pihak lain akan bertindak balas.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg