Projek peningkatan bandar bukan sekadar bertujuan mempertingkat prasarana fizikal, malah untuk membina komuniti dan tempat tinggal, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Selain memudahkan penduduk dalam urusan masing-masing, penambahbaikan bandar harus menyatukan penduduk daripada segenap lapisan masyarakat, tambahnya lagi.
Encik Lee, penasihat akar umbi GRC Ang Mo Kio, berkata demikian kepada penduduk Ang Mo Kio dalam ucapannya pada 15 Mac semasa pelancaran Pelan Induk Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMK TC) di Ang Mo Kio Central.
Pelan Induk tersebut menyingkap peningkatan yang telah dibuat di Ang Mo Kio dari 2020 hingga 2025 dan rancangan masa hadapan bagi kawasan undi tersebut.
Ia berteraskan empat komponen iaitu menghidupkan semula kawasan kejiranan, mempertingkat keterhubungan pengangkutan, usaha membina kawasan hijau dan membina komuniti lebih inklusif di semua tujuh divisyen bandar itu – Ang Mo Kio-Hougang, Cheng San-Seletar, Fernvale, Jalan Kayu, Teck Ghee, Kebun Baru dan Yio Chu Kang.
Encik Lee berkata lebih banyak peningkatan boleh dijangka pada lima tahun akan datang, dengan sokongan berterusan penduduk dan kepimpinan anggota majlis perbandaran.
Ini termasuk mempertingkat ruang yang dikongsi seperti kelab masyarakat di Cheng San-Seletar dan Yio Chu Kang yang sedang dinaik taraf, taman permainan kanak-kanak baru dan ruang kegiatan penduduk di Lentor Estate dan Cactus Sunrise.
Selain itu, lebih banyak tempat pejalan kaki berbumbung dan kemudahan mesra warga emas akan dibina.
Sebagai contoh, Program Peningkatan Warga Senja (SUP), akan dimulakan tidak lama lagi di Chong Boon, yang merangkumi pembinaan kemudahan penuaan aktif seperti taman terapeutik, laluan untuk kegiatan kecergasan dan laluan tanpa adangan.
Taman-taman pula akan diperbarui dan laluan berbasikal diperluas, seperti laluan pejalan kaki dan berbasikal Garden Loop baru yang akan menghubungkan dua taman dengan Taman Bishan-Ang Mo Kio.
Menurut Encik Lee, apabila laluan MRT Koridor Utara-Selatan dan Rentas Pulau siap dalam masa beberapa tahun, masa perjalanan akan menjadi lebih singkat.
Kereta api baru dan depoh LRT yang diperluas juga akan mengurangkan masa menunggu untuk LRT Sengkang-Punggol.
Pada 15 Mac, Encik Lee juga melancarkan khidmat bas tambahan, nombor 138M, yang mempermudah urusan penduduk, terutama warga emas dan mereka sukar bergerak, untuk pergi ke Poliklinik Ang Mo Kio dari pusat pertukaran bas.
“Ang Mo Kio akan menjadi tempat yang baik, tempat yang gembira... kami telah bentangkan pelan yang baik untuk mencapai perkara ini,” kata Encik Lee, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Ang Mo Kio.
“Marilah kita berusaha bersama, untuk menjadikan Ang Mo Kio bandar dan tempat tinggal yang boleh kita banggakan.”
Acara pelancaran itu turut dihadiri penasihat akar umbi Encik Henri Kwek (Kebun Baru SMC), Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang SMC) dan penasihat akar umbi GRC Ang Mo Kio iaitu Encik Darryl David, Encik Gan Thiam Poh dan Cik Nadia Samdin.
“Pelan Induk yang kami lancarkan hari ini mengimbau peningkatan yang telah dilakukan sepanjang lima tahun sebelum ini… dan ia menyingkap kembali bagaimana bandar Ang Mo Kio telah berubah,” kata Encik Lee
“Ia juga akan memberikan sedikit gambaran bagaimana Ang Mo Kio akan terus dipertingkatkan bagi tahun-tahun mendatang.”
Encik Lee mengimbas semula kerja-kerja yang telah dilakukan sepanjang tempoh lima tahun sebelum ini – seperti pembukaan Kelab Masyarakat Fernvale dan Pusat Penjaja Fernvale pada September 2022.
Pasar dan pusat makanan juga telah dinaik taraf di Cheng San, Chong Boon, Teck Ghee, Kebun Bahru dan Mayflower, manakala keluarga boleh menikmati lebih banyak ruang komuniti seperti taman permainan air yang baru di Buangkok Square Park, ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa lebih banyak laluan berbumbung telah dibina bagi keselesaan penduduk dan usaha kehijauan yang telah diterapkan, dengan 10,000 tumbuh-tumbuhan ditanam pada 2024 – jumlah sama dijangka akan ditanam bagi 2025.
Sementara itu, projek wayfinding iaitu usaha memudahkan penduduk mencari bangunan atau kawasan tertentu, seperti di estet estet perumahan Yio Chu Kang, di mana blok dicat dengan warna menonjol, telah memudahkan urusan penghidap demensia ringan kata Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg