Topik diikuti
Pergi ke BHkuNParks: Kurang pokok besar di hutan tua S’pura; lebih 100,000 spesies serangga di sini
NParks: Kurang pokok besar di hutan tua S’pura; lebih 100,000 spesies serangga di sini
NParks: Kurang pokok besar di hutan tua S’pura; lebih 100,000 spesies serangga di sini
Hutan tua di Singapura telah kehilangan banyak pokok besar sepanjang tiga dekad lalu akibat dibadai ribut, menurut hasil satu kajian program nasional.
Di bawah program penyelidikan ekologi hutan tropika, tinjauan pertama seumpamanya mengenai serangga terbang di hutan di sini juga telah menemui DNA anggaran lebih daripada 100,000 spesies, di mana kira-kira 10 peratus daripadanya diketahui sains.
Penemuan ini dikeluarkan pada 6 Jun bagi memulakan Festival Biodiversiti 2026. Sambutan tahunan warisan semula jadi Singapura ini dianjurkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) dan Meja Bulat Biodiversiti, rangkaian lebih daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan.
Kehilangan bersih pokok besar di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah telah mendorong NParks mempercepatkan usaha melindungi pokok matang utama.
Kajian yang menjejaki pokok di hutan simpanan itu antara 1992 dengan 2022 mendapati bilangan pokok berdiameter 30 sentimeter atau lebih di kawasan hutan tua menurun daripada 121 kepada 87 pokok sehektar.
Para penyelidik NParks mengaitkan kemerosotan ini terutamanya dengan kerosakan akibat ribut.
Timbalan Pengarah Ekologi Hutan NParks, Encik Chong Kwek Yan, berkata pokok matang utama memainkan peranan penting kerana menghasilkan sebahagian besar buah dan benih yang menyokong hidupan liar serta pertumbuhan generasi hutan baru.
Beliau memberi amaran bahawa perubahan iklim dijangka meningkatkan cabaran risiko pokok tumbang. Kajian Perubahan Iklim Negara ketiga Singapura meramalkan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 20 peratus menjelang akhir abad ini, meningkatkan risiko pokok tumbang.
Sebagai maklum balas, Encik Chong berkata NParks akan meningkatkan usaha mengenal pasti pokok matang utama, mengumpulkan benih dan membiakkan anak pokok bagi menyokong pemulihan hutan.
“Para penyelidik NParks juga akan bekerjasama dengan pasukan operasi, menterjemahkan hasil kajian kepada amalan di lapangan, seperti mengenal pasti spesies dan strategi penanaman yang paling berkesan bagi meningkatkan daya tahan hutan terhadap gangguan ribut dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan positif, kajian yang sama mendapati hutan muda di kawasan simpanan itu sedang matang dengan baik dan sihat.
Sementara itu, tinjauan terbesar Singapura terhadap serangga terbang di kawasan hutan telah mewujudkan penanda aras bagi memantau kesihatan bilangan serangga di negara ini.
Kajian itu merupakan kerjasama antara Makmal Ekologi Tumbuhan, Evolusi dan Biogeografi Universiti Nasional Singapura (NUS), Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian (NUS) dan NParks.
Tinjauan itu mengenal pasti kira-kira 100,000 spesies daripada 24 plot tanah di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, Hutan Clementi, Hutan Dover dan beberapa taman alam semula jadi lain antara 2024 dengan 2025.
Sebagai perbandingan, Jerman merekodkan sekitar 35,500 spesies serangga berdasarkan kajian terdahulu, manakala hutan beriklim sederhana lazimnya kurang pelbagai berbanding hutan tropika.
Ahli ekologi Dr Lim Jun Ying berkata Singapura menjadi rujukan penting bagi penyelidik pemuliharaan untuk memahami bagaimana hutan dan biodiversiti boleh dipulihkan di kawasan yang telah mengalami pembangunan pesat.
“Ramai ahli biologi pemuliharaan dan ahli ekologi memerhatikan Singapura untuk melihat sama ada kita mampu memulihkan hutan dan biodiversiti, dengan hasilnya bakal memberi panduan kepada negara lain di rantau ini,” kata Profesor Madya NUS itu.
Walaupun kecil, lalat, tebuan dan serangga terbang lain menjadi asas ekosistem hutan yang sihat sebagai sumber makanan, pengurai bahan organik dan penyokong pembiakan tumbuhan.
Kepelbagaian yang ditemui dalam kajian kedoktoran Dr Angelica See di bawah Makmal Ekologi Tumbuhan, Evolusi dan Biogeografi itu menggambarkan jumlah spesies serangga yang mampu disokong oleh hutan tropika Singapura.
“Ada kemungkinan setiap spesies ini menjalankan peranan ekologi yang sedikit berbeza. Jika benar, mereka menyumbang kepada pelbagai fungsi ekologi yang penting,” kata Kurator Kanan Serangga Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian NUS, Dr Hwang Wei Song, yang turut mengetuai kajian itu.
Merasmikan Pesta Biodiversiti 2026, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata kajian serangga itu memberi harapan tentang kekayaan hutan tropika Singapura ketika bilangan haiwan sedang merosot di seluruh dunia.
Beliau turut memuji satu lagi kajian NUS dan NParks, yang pertama memetakan hubungan antara pokok hutan dengan haiwan yang memakan buahnya.
Encik Tan berkata pemerintah akan terus melabur dalam penyelidikan ekologi hutan dan mengalu-alukan penyertaan penyelidik serta penaja syarikat dalam Program Penyelidikan Ekologi Hutan Tropika.
Beliau juga melancarkan Pelan Induk Pemuliharaan Alam Semula Jadi yang dikemas kini bagi melindungi biodiversiti Singapura.
Strategi baru itu mengambil kira cabaran perubahan iklim dan urbanisasi, dengan salah satu tumpuan utamanya ialah memperkukuh keterhubungan ekologi.
Menurut NParks, meskipun lebih 90 peratus hutan hujan utama, hutan bakau dan paya air tawar asal Singapura telah hilang akibat pembangunan sejak dua abad lalu, kawasan penting yang kaya dengan biodiversiti masih kekal.
Encik Tan berkata selain memulihara habitat utama, pelan itu akan meningkatkan keterhubungan antara kawasan tersebut bagi membolehkan pergerakan spesies dan menjamin kelangsungan jangka panjangnya.
Pelan induk itu turut merangkumi sebuah institut baru institut negara sains marin dan lautan yang diumumkan semasa perbahasan Belanjawan 2026.
Pusat penyelidikan bernilai $60 juta itu mencerminkan penekanan yang semakin meningkat terhadap penyelarasan keupayaan sains marin Singapura.
Menurut NParks, institut itu akan membangunkan strategi pengurusan adaptif berasaskan sains bagi menyokong pemuliharaan marin dan pengurusan mampan ruang laut yang dikongsi bersama.
Encik Tan turut memberi penghormatan kepada mendiang Cik Cheryl Chia, Pengarah Maklumat dan Jangkauan Biodiversiti NParks, yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan Festival Biodiversiti sepanjang tiga dekad perkhidmatannya bersama agensi itu.
Festival Biodiversiti edisi ke-15 berlangsung sehingga 7 Jun di Bangunan Perpustakaan Negara.
