Seorang Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) berusia 20 tahun yang memiliki 10 video eksplisit seksual kanak-kanak di peranti elektroniknya dan bertukar-tukar video sedemikian dengan individu lain di wadah media sosial, telah diarah menjalani latihan pemulihan selama 12 bulan.
Mohamed Danial Rafiuddin Mohamed Rashid didapati tidak sesuai menjalani probesen.
Dia akan ditempatkan di sebuah pusat pemulihan untuk mengikuti latihan tatatertib yang ketat, termasuk latihan kawad dan kaunseling.
Danial mengaku bersalah pada 4 Februari atas satu pertuduhan mempunyai beberapa klip video tersebut di iPad dan telefon bimbitnya, lapor The Straits Times.
Semasa sesi perbicaraan pada 6 Mei, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Samuel Chew berkata selepas Danial mengaku bersalah, dia memberi maklumat kepada pegawai probesen yang bercanggah dengan dokumen mahkamah.
Ini menunjukkan dia kurang menunjukkan rasa kesal dan kurang bertanggungjawab atas kesalahannya, kata DPP.
Danial memberitahu pegawai penyiasat dia mula terdedah kepada pornografi kanak-kanak pada 2016.
Ketika itu, dia terjumpa kumpulan Facebook yang menyiarkan video kanak-kanak yang terlibat dalam perbuatan seksual.
Dia memperoleh salinan video sedemikian melalui rakaman skrin dan menyimpannya di peranti elektroniknya.
Sebelum ini, DPP Chew memberitahu mahkamah:
“Tertuduh juga mengaku dia bertukar-tukar video pornografi kanak-kanak dengan individu lain yang mempunyai kecenderungan sama di Telegram, WhatsApp dan Facebook.
“Tertuduh mengaku berbuat demikian... sehingga beberapa minggu sebelum dia ditangkap (pada 2023), dan dia telah bertukar-tukar (video sedemikian) dengan sekitar 10 hingga 15 individu.”
Tanpa mendedahkan butirannya, pendakwa raya berkata pada Disember 2023, polis menerima maklumat Danial disyaki memiliki bahan yang memapar penganiayaan kanak-kanak.
Anggota dan pegawai polis menyerbu rumahnya pada bulan itu lalu menahannya.
Mereka turut merampas peranti elektroniknya, termasuk telefon bimbit dan iPad miliknya.
Salah satu klip video tersebut menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan yang kelihatan berusia antara lima dengan tujuh tahun, manakala sembilan lagi video memaparkan kanak-kanak dan remaja lelaki yang kelihatan berusia antara enam dengan 14 tahun.
Selepas Timbalan Ketua Hakim Daera Kessler Soh menjatuhkan hukuman itu, bapa Danial merayu agar hukuman anaknya diringankan.
Bercakap melalui jurubahasa Melayu, bapanya berkata: “Saya faham bahawa dia telah melakukan kesalahan dan kesalahan ini agak serius.
“Namun, saya harap Yang Arif dapat mengurangkan hukumannya kerana dia masih muda dan dia masih dalam Perkhidmatan Negara.”
Hakim Soh berkata beliau memahami hukuman tersebut sukar diterima oleh bapa Danial, namun tempoh latihan pemulihan itu adalah perlu bagi memastikan Danial tidak mengulangi kesalahan sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg