Seorang anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), yang menawarkan wang tunai dan perbuatan seksual kepada tiga remaja lelaki, diperintah menjalani latihan pemulihan sekurang-kurangnya setahun pada 29 Disember.
Pesalah muda yang dikenakan hukuman seperti itu akan ditahan di pusat tahanan dengan disiplin ketat, termasuk kaunseling, lapor The Straits Times (ST).
Muhammad Shafirul Danish Muhammad Shaffie, 19 tahun, mengaku bersalah pada November atas dua tuduhan cuba mendapatkan khidmat seksual daripada remaja bawah 18 tahun, serta satu pertuduhan gangguan.
Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lewis Tan berkata Shafirul berkenalan dengan seorang budak lelaki 16 tahun, dikenali sebagai A1 dalam dokumen mahmakah, di Instagram pada November 2024.
A1 memberitahu usianya, dan semasa pertemuan bersemuka pada Mac, Shafirul meminjam $45 daripadanya.
Bulan berikutnya, Shafirul tidak memulangkan wang itu, sebaliknya berulang kali menawarkan perbuatan seksual. Malah, dia turut menawarkan wang $200, yang ditolak oleh A1.
DPP Tan berkata tertuduh berpura-pura menjadi individu bernama “Izz Syah”, menawarkan untuk menempah Grab dan menghantar gambar wang tunai untuk meyakinkan A1 tentang kemampuannya membayar.
A1 tahu itu adalah si terdakwa, dan menolak tawaran tersebut.
Shafirul kemudian berkata dia hanya akan membayar balik A1 jika mangsa menerima tawarannya. A1 membuat laporan polis pada 10 April.
Secara berasingan, pada November 2024, Shafirul terjumpa siaran TikTok seorang budak lelaki kedua, A2, 16 tahun, dan mereka mula berbual.
Mahkamah mendengar bahawa A2 juga memberitahu pesalah usianya.
Pada Mac, Shafirul menyatakan hasrat untuk melakukan salah satu daripada dua perbuatan seksual ke atas A2, menawarkan sehingga $290, dan $50 untuk gambar alat kelamin. Shafirul mula menghantar mesej berulang kali kepada A2 setelah tawarannya ditolak.
DPP Tan berkata: “tertuduh kemudian mengancam untuk mendedahkan wajah A2 di TikTok untuk memalukan A2 kerana tidak menyetujui tawaran tertuduh.”
Shafirul kemudian menyiarkan video wajah A2 di TikTok, menyatakan bahawa A2 takut bertemu dengannya.
A2 memberitahu adiknya, dan laporan polis dibuat pada Jun.
Shafirul ditangkap bulan berikutnya dan dibebaskan dengan jaminan pada Ogos.
Walaupun demikian, pada September, Shafirul menghubungi seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, dikenali sebagai A5, dan menawarkan bayaran $279 bagi aktiviti seksual, namun tawaran itu ditolak, menurut keterangan di mahkamah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg