Tiket penerbangan ke Malang, Indonesia, mungkin kelihatan seperti satu pembelian biasa.
Namun bagi Encik Ismail Hadi Zamzam, ia melambangkan sesuatu yang jauh lebih bermakna – pelaksanaan ibadah korban pertamanya, yang dibiayai hasil wang simpanan daripada elaun Perkhidmatan Negara (NS).
Sebagai peserta program pembelajaran, Qurban Learning Journey (QLJ), anjuran Perdaus, pemuda berusia 22 tahun itu akan berangkat ke Malang untuk melaksanakan ibadah korban di Pondok Pesantren Daarul Ukhuwwah.
Ia adalah sebuah sekolah pondok Islam di mana daging korban akan diagihkan kepada penduduk kampung sekitarnya.
Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air, Encik Ismail Hadi juga telah menempah seekor kambing korban di sana melalui Perdaus dan membayar $165 untuk pakej korban tersebut.
Berkongsi bersama Berita Harian (BH) dalam talian, Encik Ismail Hadi berkata berpeluang membuat keputusan untuk menunaikan ibadah korban merupakan satu keistimewaan, lebih-lebih lagi apabila masih ramai yang lebih memerlukan.
“Paling utama sekali, saya rasa dengan kemampuan kewangan yang saya miliki, untuk saya mempunyai pilihan sama ada mahu melaksanakan ibadah korban atau tidak, itu adalah satu keistimewaan.
“Saya juga sedar ada ramai lagi yang lebih memerlukan bantuan ini.
“Baru-baru ini, saya juga belajar bahawa apa sahaja wang yang kita gunakan atau belanjakan… pasti ada ganjaran dan tidak akan dikurangkan sedikit pun,” ujar beliau, yang juga seorang Leftenan berkhidmat dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Beliau turut berharap agar dapat menyampaikan ilmu serta kefahaman tentang proses ibadah korban kepada orang lain hasil pengalamannya menerusi program QLJ.
Sepanjang program tersebut, Encik Ismail Hadi dan beberapa sukarelawan belia lain daripada Perdaus akan dibimbing oleh seorang ustaz yang akan membantu mereka memahami setiap peringkat ibadah korban – daripada proses penyembelihan hingga pengagihan daging kepada penduduk kampung sekitar pondok pesantren itu.
Selain itu, mereka juga berpeluang mempelajari amalan dan sunah yang berkaitan, serta mendalami adat dan budaya tempatan sepanjang sambutan Hari Raya Haji di sana.
“Saya rasa pengalaman itu sendiri seperti melakukan ibadah korban dan penyembelihan akan menjadi satu pengalaman baru bagi saya.
“Meluangkan masa di sana bersama rakan-rakan dan menyambut Aidiladha di negara lain adalah sesuatu yang juga merupakan pengalaman baru bagi saya.
“Ini adalah kali pertama saya akan pergi ke sana. Ia adalah hasrat ustaz untuk kami mendapat pendedahan tentang pelaksanaan ibadah korban, dan suatu hari nanti, kami sendiri dapat menganjurkan program seperti ini untuk generasi akan datang,” ujar anak ketiga daripada lima adik-beradik itu.
Beliau akan berada di Malang dari 5 hingga 8 Jun dan akan menyambut Hari Raya Haji di sana.
“
“Ini adalah kali pertama saya akan pergi ke sana. Ia adalah hasrat ustaz (daripada program pembelajaran ‘Qurban Learning Journey’) untuk kami mendapat pendedahan tentang pelaksanaan ibadah korban, dan suatu hari nanti, kami sendiri dapat menganjurkan program seperti ini untuk generasi akan datang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg