Parti Perpaduan Nasional (NSP) pada 20 April mengumumkan akan bertanding di GRC Sembawang dan GRC Tampines pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Ia akan menentang Parti Demokratik Singapura (SDP) dan parti penyandang, Parti Tindakan Rakyat (PAP), di GRC Sembawang.
Di GRC Tampines, ia akan menentang PAP serta Parti Pekerja (WP), yang dijangka bertanding di sana juga.
Memimpin pasukan NSP di GRC Sembawang ialah Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng, 45 tahun, yang juga telah menerajui pasukan untuk bertanding di sana pada GE2015 dan GE2020.
Walaupun Encik Ng tidak mendedahkan barisan penuh untuk kededua GRC Sembawang dan GRC Tampines, beliau tetap memperkenalkan dua muka baru – pensyarah Politeknik Republik, Cik Verina Ong, 46 tahun, dan perancang kewangan Cik Zee Phay, 32 tahun – pada 20 April selepas lawatan parti itu di Kampung Admiralty.
Encik Ng juga mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding di SMC Sembawang West yang baru ditubuhkan, lantas berundur daripada pertembungan tiga penjuru antara Setiausaha Agung SDP, Dr Chee Soon Juan, dengan PAP.
Anggota Parlimen bagi kawasan undi Sembawang West sejak GE2020 ialah Cik Poh Li San.
Semasa bercakap dengan media, Encik Ng berkata NSP tidak akan bertanding di SMC Tampines Changkat, GRC Jalan Besar dan GRC Marsiling-Yew Tee.
“Memandangkan kepentingan pelbagai parti di pelbagai kawasan, kami akan membiarkan parti pembangkang lain untuk bertanding di kawasan yang mereka minati.
“Untuk mengimbangi falsafah kami, idea kami tentang perpaduan pembangkang, kami (akan) membiarkan Dr Chee berlawan terus dengan Cik Poh Li San,” tambahnya.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), jurucakap NSP mengesahkan bahawa parti tersebut tidak akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Sebelum ini, NSP telah meluahkan hasrat untuk bertanding di GRC tersebut pada GE2025.
Jurucakap NSP berkata: “Kami akan bertanding di GRC Tampines dan GRC Sembawang sahaja.”
Keputusan NSP untuk menarik diri daripada kawasan-kawasan itu dibuat selepas SDP dan NSP mengadakan perbincangan bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru di GRC Sembawang.
NSP telah aktif di Sembawang sejak 2011.
Pada awal April, SDP meminta NSP bertanding di GRC Holland-Bukit Timah sebaliknya, cadangan yang ditolak oleh NSP. Pada masa itu, Encik Ng menyamakan cadangan itu umpamanya sebagai “bertukar isteri”.
Pada 12 April, Titik Merah Bersatu (RDU) berkata ia akan menarik diri daripada gabungan parti pembangkang yang ditubuhkan pada 2023, selepas NSP, yang juga sebahagian daripada gabungan itu, enggan berundur daripada pertembungan tiga penjuru di GRC Sembawang.
Encik Ng berkata barisan calon NSP untuk GRC Sembawang dan GRC Tampines akan didedahkan pada Hari Penamaan Calon, pada 23 April.
Calon baru Cik Verina Ong, seorang pensyarah di Sekolah Hospitaliti Politeknik Republik (RP), mungkin bertanding bersama pasangannya dan bakal calon yang diperkenalkan sebelum ini, jurulatih renang, Encik Raiyian Chia.
Sebagai seorang pendidik, Cik Ong mahu mendorong pemikiran kritikal dan kreativiti yang lebih mendalam dalam diri pelajar, sambil memperjuangkan kesihatan mental golongan muda.
“Mereka sangat takut dengan gred mereka. Pelajar mengehadkan diri mereka kepada jawapan yang sangat standard dan selamat. Saya fikir kita memerlukan laluan yang lebih pelbagai kerana peperiksaan tidak menentukan anak kita,” katanya.
Encik Phay, yang mula menjadi sukarelawan dengan parti itu pada 2011, adalah bekas pelajar Encik Ng, yang mengajar di Sekolah Menengah North Vista.
Sebagai bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun, Encik Phay ingin menyuarakan untuk sokongan yang lebih besar bagi perkhidmatan penjagaan bayi dan pekerja profesional dari pendidikan awal kanak-kanak, yang menurutnya sudah terlalu banyak bekerja.
Beliau juga berharap untuk melihat lebih ramai pelajar sekolah menengah belajar tentang celik kewangan.
Pada 20 April, parti itu turut mendedahkan slogan kempennya “Masa depan anda, keutamaan kami. Masa depan yang cerah untuk Singapura”.
Antara bidang tumpuannya ialah cadangan mengurangkan harga rumah dan meningkatkan kadar kesuburan negara.
Pada GE2015, NSP memperoleh 27.72 peratus undi di GRC Sembawang.
Parti itu meraih keputusan yang lebih baik sedikit pada GE2020, setelah ia memperoleh 32.71 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg