Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTU kekal gred sifar untuk siswa guna AI dalam esei

Jul 18, 2025 | 7:43 PM
Ketiga-tiga pelajar yang mendaftar dalam modul tersebut telah menerima gred sifar untuk esei yang sama pada April lalu.
Ketiga-tiga pelajar yang mendaftar dalam modul tersebut telah menerima gred sifar untuk esei yang sama pada April lalu. - Foto fail

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengekalkan gred sifar yang diberikan kepada seorang pelajar yang didenda atas pelanggaran akademik, selepas pelajar itu mengemukakan rayuan.

Dalam kenyataan pada 18 Julai, pihak universiti berkata panel yang mengkaji rayuan pelajar itu menemui 14 kes petikan atau data palsu dalam eseinya, dan menegaskan bahawa ia bukan sekadar “kesalahan menaip” semata-mata, lapor The Straits Times (ST).

Salah satu contohnya adalah petikan daripada sumber yang tidak wujud.

“Panel menegaskan bahawa memetik sumber yang tidak wujud adalah satu bentuk pelanggaran akademik yang serius, kerana pematuhan terhadap petikan yang tepat adalah asas dalam penyelidikan dan penulisan akademik,” kata NTU.

Universiti itu menambah bahawa kesalahan seperti itu sering dikaitkan dengan ketidaktepatan fakta yang dihasilkan oleh alat kecerdasan buatan generatif (Gen AI).

Tugasan tersebut adalah sebahagian daripada kursus mengenai kesihatan, wabak penyakit, dan politik di Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU. 

Ketiga-tiga pelajar dalam modul itu telah menerima gred sifar pada April selepas esei mereka dikesan mengandungi petikan akademik dan perangkaan palsu atau pautan laman Internet yang rosak.

Kes tersebut menarik perhatian terhadap penggunaan AI yang kian meningkat dalam pendidikan dan menimbulkan perbincangan mengenai kesannya terhadap integriti akademik dan pemikiran kritis.

NTU sebelum ini mengesahkan penggunaan alat Gen AI telah dilarang dengan jelas oleh tenaga pengajar kursus sepanjang penggal tersebut, dan pelajar diberi amaran sebarang kandungan yang dihasilkan oleh AI akan membawa pada gred sifar. 

Tugasan itu bernilai 45 peratus daripada gred akhir.

Pelajar yang rayuannya dipertimbangkan oleh panel itu, sebelum ini, menyatakan beliau hanya menggunakan penyusun rujukan dan telah mengemukakan petikan yang dikemas kini untuk membetulkan kesilapannya.

Mengenai keputusan panel mengekalkan gred sifar, beliau berkata walaupun tidak bersetuju sepenuhnya dengan keputusan universiti, beliau menerima keputusan itu dan bersedia untuk melangkah ke hadapan.

“Saya menghormati keputusan NTU dan menganggapnya sebagai kesalahan saya,” katanya.

Sementara itu, permintaan rayuan oleh pelajar kedua yang turut dikenakan hukuman telah ditolak sebelum ini, dan pelajar ketiga tidak mengemukakan rayuan.

NTU berkata pada 18 Julai bahawa semua kes pelanggaran akademik akan didokumenkan dalam rekod dalaman pelajar.

“Keputusan panel rayuan adalah muktamad,” kata universiti itu.

“Kami menggesa semua pihak agar menghormati kewibawaan proses rayuan dan mengelakkan serangan peribadi terhadap individu yang terlibat.

“(Pihak) universiti komited untuk melindungi kesejahteraan fakulti, kakitangan dan pelajar universiti.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg