Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar SP jual sayur ‘mikro’, galak pemakanan sihat

Nov 22, 2024 | 5:30 AM
Encik Mohammed Arddrean Zikry dan Cik Emiko Ono antara tenaga di sebalik syarikat pemula ‘Micro Munch’ yang bertujuan memperkasa individu dalam mengamalkan pemakanan berkhasiat dan proses penanaman mampan.
Encik Mohammed Arddrean Zikry dan Cik Emiko Ono antara tenaga di sebalik syarikat pemula ‘Micro Munch’ yang bertujuan memperkasa individu dalam mengamalkan pemakanan berkhasiat dan proses penanaman mampan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kesedaran mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan lebih berkhasiat kini lebih meluas dalam kalangan anak muda.

Berasaskan ilmu perniagaan yang dimiliki, pelajar tahun pertama Diploma Pentadbiran Perniagaan di Politeknik Singapura (SP), Encik Mohammed Arddrean Zikry Mohammed Zakry, 17 tahun, menubuhkan syarikat start-up atau pemula makanan berkhasiat, Micro Munch, bersama teman-temannya.

Micro Munch yang diasaskan rakannya, Encik Shakti Kumaran Selvakumaran, juga pelajar SP, bertujuan memperkasa individu dalam mengamalkan pemakanan berkhasiat dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan yang dilakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui benih tanaman sayuran dan herba atau microgreen.

Produk yang dipasarkan Micro Munch termasuk kit sayuran yang dituai pada peringkat awal pertumbuhan Microli (brokoli), MunchyRed (lobak merah) dan Microroots (ubi bit atau beetroot) yang memudahkan pelanggan bercucuk tanam di rumah kerana segala kelengkapan tersedia.

Syarikat ini juga digerakkan bersama pelajar sekursus tahun pertama di SP, Cik Pearlin Lim, Cik Lynette Teo, Encik Darren Yam, Encik Gregor Koh, Cik Emiko Ono, Cik Oh Yue Yi, Cik Nur Kaiyishah Norazman dan Cik Lim Enqi.

Lebih menggalakkan, usaha niaga mereka disokong program pementoran niaga berstruktur, Business Essentials Through Action (BETA) atau Keperluan Perniagaan Menerusi Tindakan yang dilancar pada 15 November oleh Sekolah Perniagaan di SP bersama Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC).

Bagi Encik Mohammed Arddrean Zikry, program BETA ini menyediakan pelajar dengan pengalaman serta bimbingan daripada pakar untuk memperhalusi usaha niaga mereka di tengah-tengah ekonomi yang pesat membangun.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di SP, beliau berkata:

“Antara sebab kami menubuhkan Micro Munch adalah kerana didorong kesedaran keperluan masyarakat kini.

“Rata-rata di Singapura, banyak barangan diimport, dari keperluan rumah hingga ke sumber makanan.

“Ini juga termasuk pilihan makanan sihat dan organik harian.

“Oleh itu, tercetus idea menghasilkan tanaman microgreen atau sejenis sayuran yang dituai pada peringkat awal pertumbuhan disebabkan kandungan nutrien yang tinggi. Sayur ‘mikro’ ini juga sering digunakan sebagai hiasan dalam makanan.

“Selain mengamalkan gaya hidup sihat, kami juga ingin menggalakkan orang ramai untuk menanam sayuran sendiri dengan mudah di rumah.”

Menurutnya lagi, kadar kos bagi makanan sihat dan organik amat tinggi di pasaran. 

Justeru itu, melalui inisiatif ini, beliau berharap orang ramai akan lebih terangsang untuk menikmati makanan berkhasiat tinggi dengan kos yang dimampui serta proses tanaman mudah lagi mampan.

Setiap kit sayur ‘mikro’ yang dihasilkan Micro Munch dijual pada harga $6.90 dan boleh didapatkan di laman Instagram mereka.

“Saya akur saiz pelanggan dan masyarakat yang mengamalkan pemakanan sihat dan organik di sini masih dianggap kecil.

“Namun, saya harap dengan sistem tanaman tumbuhan organik yang lebih mudah akan memberi lebih pendedahan pada pemakanan sihat sebegini dan teknik bercucuk tanam dengan mudah.

“Misalnya, menanam sayur ‘mikro’ ini tidak memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari seperti tanaman lain. Ia akan mula tumbuh dalam beberapa hari dan dapat mengekalkan kelembapan.

“Maka, orang ramai tidak perlu tunggu lama untuk menuai sayur ‘mikro’. Ia juga boleh dimakan begitu sahaja,” tambahnya lagi.

Selain itu, sayur ‘mikro’ mempunyai kandungan vitamin A, C, E dan K dan antioksiden yang tinggi. Hal ini dapat melawan tekanan oksidatif, di mana wujud ketidakseimbangan bahan radikal bebas dan antioksidan dalam badan yang boleh membawa pada kerosakan sel.

Proses penuaian juga sangat ringkas kerana sayur ‘mikro’ boleh dituai dalam tempoh satu hingga tiga minggu selepas proses pencambahan.

“Sebagai pengurus jualan, hal yang paling mencabar bagi saya adalah meyakinkan masyarakat mengenai produk sayur ‘mikro’ ini.

“Walaupun saya faham, mungkin tidak ramai yang gemar dengan sayur ‘mikro’ ini tetapi saya harap agar mereka setidaknya mencubanya.

“Selain mengandungi khasiat yang tinggi, sayur ‘mikro’ juga mempunyai rasa asli sayuran.

“Kami juga bekerjasama dengan pelajar tahun kedua di Politeknik Ngee Ann, Encik Terence Tam daripada kursus reka bentuk landskap dan hortikultur, yang membantu mempelbagaikan rasa produk sayur ‘mikro’ kami,” ujar Encik Mohammed Arddrean Zikry.

Beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sayur ‘mikro’ melalui pendidikan dan aktiviti amali di samping menghadiri acara perniagaan bagi memperluas rangkaian pelanggan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg