Hampir 240 pekerja migran dalam sektor pemprosesan masih belum menerima gaji mereka sehingga dua bulan, kata Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Choo, pada 23 Oktober.

Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata NTUC sedang bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk mengatur penginapan berpusat, bantuan pemadanan pekerjaan dan bantuan bagi tuntutan gaji, termasuk bayaran kerja lebih masa untuk pekerja terjejas.

Pihak berkuasa juga menyediakan bantuan kewangan jika perlu, kata beliau sambil menambah bahawa kira-kira 90 pekerja yang terjejas itu sedang menerima bantuan makanan harian, lapor The Straits Times (ST).

Menurut hantaran di Facebook Encik Choo, Pusat Pekerja Migran (MWC) dan Kumpulan Jaminan, Kepedulian dan Penglibatan (ACE) MOM telah menemui 230 pekerja migran pada 19 dan 20 Oktober untuk memahami keperluan mereka.

Pekerja migran yang berasal dari Bangladesh itu bekerja dalam sektor pemprosesan di Singapura, dengan sebahagian daripada mereka telah membayar $12,000 hanya untuk sampai ke sini, kata pegawai kanan NTUC, Encik Jeremiah Khoo, dalam video yang disertakan bersama hantaran Encik Choo.

Dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober, pengarah segmen pekerja migran NTUC, Encik Michael Lim, berkata MWC sedia maklum mengenai tuntutan tunggakan gaji yang menjejas pekerja migran daripada dua syarikat – Process Maintenance Solutions dan Jurong Technical & Construction.

“Kami menyedari bahawa gaji yang tidak dibayar boleh menyebabkan kesusahan ketara kepada pekerja migran, menjejas keperluan harian mereka dan keluarga yang bergantung kepada pada pendapatan mereka,” kata Encik Lim.

Menurutnya, NWC sedang membantu pekerja terbabit memfailkan tuntutan gaji yang belum dibayar dengan Perikatan Tripartit bagi Pengurusan Pertikaian.

Encik Lim berkata bahawa makanan disediakan kepada para pekerja melalui Tabung Bantuan Pekerja Migran, dan MWC sedang bekerjasama dengan rakan agensi pekerjaan untuk mencari pekerjaan yang sesuai serta bantuan peralihan untuk para pekerja terlibat.

Menurut video dalam hantaran Facebook Encik Choo, jika majikan tidak mampu membayar gaji pekerja, sejumlah wang sagu hati akan diberikan melalui tabung bantuan tersebut.

Mereka yang tidak dapat mencari pekerjaan baharu mungkin terpaksa pulang ke tanah air, kata Encik Khoo.

Encik Choo dan Encik Lim menyeru sesiapa sahaja yang mengetahui tentang pekerja migran yang menghadapi masalah di tempat kerja atau masalah gaji supaya menghubungi talian hotline 24 jam MWC di 6536-2692, yang menawarkan bantuan dalam pelbagai bahasa.

Encik Lim menyeru mereka yang terjejas segera tampil lebih awal untuk mendapatkan panduan dan bantuan.

“Pekerja-pekerja ini layak dibayar atas penat lelah mereka, dan kami akan lakukan sedaya upaya untuk menyokong mereka,” ujar Encik Choo.

“Tiada pekerja harus menghadapi ini seorang diri,” tegas beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti