Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menyemak keperluan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menetapkan NTUC sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP), kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
Dalam satu kenyataan pada 11 Julai, beliau berkongsi bahawa NTUC mempunyai perlindungan yang sejajar dengan perlindungan yang dilaksanakan di tahap nasional untuk mengelakkan daripada campur tangan entiti asing.
Beliau berkata demikian selepas NTUC dimaklumkan berkenaan hasrat MHA untuk menetapkannya sebagai PSP di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica.
Dalam satu kenyataan pada 11 Julai, MHA berkata Pendaftar Pendedahan Luar dan Politik (Pendaftar) telah menyerahkan Notis Penetapan Hasrat berkenaan kepada NTUC pada 11 Julai.
Encik Ng berkongsi bahawa NTUC akan memastikan bahawa operasinya “kekal bebas daripada pengaruh asing”.
“Kami akan semak keperluan MHA bagi proses penetapan sedemikian dan ingin memberi jaminan kepada anggota, rakan kongsi dan pihak berkepentingan bahawa teras usaha NTUC dalam memperbaiki kehidupan pekerja akan berterusan tanpa henti,” tambahnya.
Di bawah Fica, NTUC mempunyai 14 hari dari tarikh notis untuk mengemukakan perwakilannya kepada Pendaftar.
NTUC juga boleh membuat rayuan kepada MHA terhadap keputusan Pendaftar sekiranya Pendaftar menetapkannya sebagai PSP.
Dalam satu kenyataan media oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), ia sedia maklum mengenai hasrat MHA menetapkan NTUC sebagai PSP dan ia “tidak mengakibatkan apa-apa larangan terhadap kegiatan semasa NTUC”.
“MOM akan terus bekerjasama dengan NTUC sebagai salah satu rakan kongsi utama tiga pihak. Kegiatan-kegiatan NTUC mematuhi Akta Kesatuan Sekerja,” tambah MOM.
Dalam satu kenyataan berasingan, MHA berkata hasrat menetapkan NTUC sebagai PSP di peringkat persekutuan tidak akan termasuk kesatuan bersekutu, persatuan bersekutu dan perusahaan sosial.
Ini kerana menurut MHA, entiti sedemikian merupakan entiti undang-undang berasingan daripada NTUC.
Kenyataan itu menambah penetapan PSP tidak melibatkan individu NTUC seperti ahli Jawatankuasa Pusat dan kakitangannya.
Dalam pada itu, Pendaftar – badan berkuasa dilantik MHA di bawah Fica yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran peruntukan berkaitan PSP, kecuali calon pilihan raya dan ejen pilihan raya – mendapati adanya “hubungan simbiotik” kesatuan itu dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Dalam Rapat Hari Pekerja pada Mei 2023, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang pada waktu itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan kededua pertubuhan bak “organisasi adik-beradik” yang berasal daripada pergerakan sama.
“Kami berkongsi matlamat yang sama – untuk meningkatkan kehidupan pekerja dan warga Singapura, menggalakkan pertumbuhan ekonomi untuk semua serta memastikan perpaduan dan kestabilan sosial,” katanya.
Encik Ng berikrar untuk memperdalam hubungan simbiotik ini semasa berucap di Rapat Hari Pekerja 2024.
Beliau berkata: “Kami akan bekerjasama dengan pemerintah PAP dan pihak majikan untuk membina Singapura yang lebih makmur dan berusaha untuk mendapatkan gaji, kebajikan dan prospek kerja lebih baik untuk semua.”
Menukil laporan The Straits Times, NTUC mempunyai 1.3 juta anggota dan menyatukan 58 kesatuan sekerja, tujuh perusahaan sosial dan rakan kongsi lain di bawah naungannya.
Sehingga Mei 2024, sekitar 45 peratus ahli kesatuannya merupakan karyawan, pengurus dan eksekutif.
“
“Kami akan semak keperluan MHA bagi proses penetapan sedemikian dan ingin memberi jaminan kepada anggota, rakan kongsi dan pihak berkepentingan bahawa teras usaha NTUC dalam memperbaiki kehidupan pekerja akan berterusan tanpa henti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg