Sebanyak $2.5 juta telah diperuntukkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk memperkasa belia dan kanak-kanak bersekolah dalam pendidikan serta kebajikan mereka.
Dana tersebut diperuntukkan menerusi beberapa geran pendidikan seperti Anugerah Permulaan NTUC, Dana Penjagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) dan Dana Penjagaan NTUC (Memperkasakan Belia).
Mengulas tentang insiatif-inisiatif tersebut, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng berkata beliau berharap ia akan membantu golongan belia mencapai aspirasi kerjaya mereka.
“NTUC telah peruntukkan $2.5 juta dalam bentuk geran dan dana bagi belia kita untuk menyokong mereka dalam perjalanan pendidikan mereka, terutamanya apabila keluarga mereka tertekan.
“Mudah-mudahan, kami dapat membantu mereka mencapai kerjaya yang mereka impikan,” katanya.
Geran biasiswa baru, Anugerah Permulaan NTUC, menyediakan biasiswa tanpa bon dan program pembangunan kepimpinan untuk pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IHL).
Geran itu menyediakan biasiswa bebas bon, termasuk program pembangunan kepimpinan, untuk pelajar Singapura, menawarkan sehingga $6,000 untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), $9,000 untuk pelajar politeknik dan $16,000 untuk pelajar universiti.
Permohonan untuk Anugerah Permulaan NTUC akan dibuka dari 2 hingga 30 September 2024.
Geran Dana Penjagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) pula bertujuan untuk menggalak ahli kesatuan sekerja berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak yang masih ke sekolah untuk cemerlang dalam pelajaran.
Dana itu adalah untuk kanak-kanak ahli kesatuan sekerja yang mendaftar di institusi yang diluluskan untuk Tahun Akademik 2023.
Selain itu, geran Dana Penjagaan NTUC (Memperkasakan Belia) menawarkan sokongan dan jaminan kepada belia dalam masa kesusahan yang disebabkan oleh kehilangan pendapatan, seperti keadaan perubatan kronik yang serius, hilang upaya menyeluruh/separuh atau kematian ibu bapa mereka, yang merupakan ahli NTUC.
Melalui geran tersebut, belia terjejas yang merupakan pelajar sepenuh masa akan menerima dana tahunan sehingga mereka melengkapkan sijil pengajian tinggi pertama mereka, atau sehingga empat tahun.
Geran itu dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan NTUC untuk membantu ahli yang terdedah melalui Inisiatif U Care NTUC.
Permohonan untuk dana itu telah dibuka sejak 27 Mei lalu dan ditutup pada 31 Januari 2025.
Di samping dana tambahan itu untuk menyokong belia dalam pendidikan dan kebajikan mereka, kempen NTUC Care-It-Forward (CIF) turut dilancarkan pada 3 Ogos.
Kempen itu bertujuan mempamerkan usaha NTUC dalam menjaga pekerja mereka dan berharap dapat menggalak pekerja lain supaya menyumbang ke hadapan dan menyokong pekerja yang lain.
Menurut NTUC, kempen CIF akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang untuk menyasarkan segmen pekerja lain, supaya mereka dapat terus mengetengahkan usaha dalam menjaga mereka, dan memperjuangkan kepentingan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg