Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC peruntuk $3.85j untuk pendidikan, kebajikan belia

Oct 5, 2024 | 9:13 PM
Peruntukan sebanyak $3.85 juta untuk pelbagai inisiatif sokongan belia, termasuk Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) yang diberi mencerminkan dedikasi NTUC untuk melabur dalam masa depan lebih cerah untuk belia Singapura.
Peruntukan sebanyak $3.85 juta untuk pelbagai inisiatif sokongan belia, termasuk Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) yang diberi mencerminkan dedikasi NTUC untuk melabur dalam masa depan lebih cerah untuk belia Singapura. - Foto ST

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah memperuntukkan geran bernilai $3.85 juta di bawah Dana NTUC-U Care untuk memperkasa dan membantu kanak-kanak yang masih bersekolah dalam pendidikan dan kebajikan mereka.

Geran tersebut meliputi Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan), Anugerah Pemula NTUC, Dana Jagaan NTUC (e-Baucar) dan Dana Jagaan NTUC (Memperkasa Belia).

Mengumumkan inisiatif ini di majlis penyampaian Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) di NTUC Centre @ One Marina Boulevard pada 5 Oktober, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata komitmen itu adalah bukti sokongan berterusan NTUC untuk belia dalam perjalanan kerjaya mereka.

“Kami mahu memperkasa belia kita agar mencapai potensi penuh mereka kerana mereka adalah masa depan tenaga kerja kita,” kata Encik Ng.

“Peruntukan sebanyak $3.85 juta untuk pelbagai inisiatif sokongan belia, termasuk Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) yang diberikan, mencerminkan dedikasi kami untuk melabur dalam masa depan lebih cerah untuk belia kita,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada program bantuan Dana Jagaan NTUC-U, NTUC telah memperuntukkan $700,000 untuk dimanfaatkan sekitar 3,500 belia dan kanak-kanak bersekolah yang akan menerima Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan).

Anugerah ini akan disampaikan kepada pelajar dari institusi pengajian tinggi yang layak, sekolah, dan institusi pendidikan yang diluluskan pada 2024.

Sebagai tambahan kepada jumlah ini, kesatuan dan persatuan gabungan NTUC juga akan memperuntukkan dana buat anak-anak anggota kesatuan berpendapatan rendah yang layak.

Anugerah dan biasiswa tersebut bernilai antara $200 hingga $600.

Selain itu, setiap penerima Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) akan diberi khidmat kad prabayar Singtel selama 12 bulan secara percuma.

Ini membolehkan pelajar mengakses sumber pendidikan dan meneruskan pembelajaran mereka tanpa menghadapi cabaran keterhubungan.

Usaha ini adalah sebahagian kerjasama lima tahun dengan Singtel untuk menyediakan keterhubungan percuma kepada 6,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Di samping itu, menerusi program bantuan Dana Jagaan NTUC-U, NTUC ingin menyediakan sokongan menyeluruh kepada pembangunan belia.

Sejak pelancaran Pasukan Petugas Belia NTUC sebagai sebahagian daripada Perbualan #EveryWorkerMatters pada 2022, NTUC telah menyediakan pelbagai program dan inisiatif, menangani bukan sahaja keperluan akademik mereka tetapi juga aspirasi kerjaya dan perkembangan peribadi.

Inisiatif utama termasuk keanggotaan ‘NTUC Starter’ (Pemula NTUC) yang disesuaikan dengan keperluan kerjaya dan gaya hidup belia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg