Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rang undang-undang pastikan keadilan di tempat kerja, lindung dari diskriminasi dilulus

See Leng: Undang-undang satu permulaan, akan terus dipertingkat
Jan 8, 2025 | 9:20 PM
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja yang diluluskan Parlimen pada 8 Januari memberi perlindungan lebih besar kepada pekerja dan pencari kerja terhadap diskriminasi atas sebab, seperti usia dan kerakyatan.
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja yang diluluskan Parlimen pada 8 Januari memberi perlindungan lebih besar kepada pekerja dan pencari kerja terhadap diskriminasi atas sebab, seperti usia dan kerakyatan. - Foto ST

Pekerja dan pencari kerja di Singapura akan mempunyai perlindungan lebih besar terhadap diskriminasi atas sebab seperti usia dan kerakyatan, selepas Parlimen meluluskan undang-undang baru yang memastikan keadilan di tempat kerja pada 8 Januari.

Menyifatkan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja itu sebagai “rang mercu tanda”, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam ucapan penutupnya berkata ia hanya satu permulaan dan pemerintah akan terus berusaha untuk menambah baik undang-undang itu bagi mewujudkan tempat kerja lebih adil.

“Kami mengimbangi banyak pertimbangan, merentas pelbagai pihak berkepentingan. Ada yang mahu bergerak cepat, ada yang kurang begitu.

“Kami tidak boleh menyelesaikan semua isu dalam sekelip mata, namun kami akan terus mengusahakannya dan memperbaikinya dari masa ke masa.

“Apa yang kami semua setuju adalah keperluan mewujudkan tempat kerja lebih adil yang menyediakan peluang baik untuk pekerja kita,” kata beliau.

Rang undang-undang itu menjadikan amalan mendiskriminasi pekerja dan pencari kerja berdasarkan lima kumpulan ciri satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Lima kumpulan ciri itu ialah usia; kerakyatan; jantina, status perkahwinan, kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; kaum, agama dan bahasa; dan ketidakupayaan serta keadaan kesihatan mental.

Ini bermakna majikan tidak boleh memilih untuk tidak menggajikan seseorang, memberikan penilaian prestasi lemah, menafikan kenaikan pangkat atau peluang latihan, atau memecat pekerja berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan di atas.

Syarikat juga dilarang mempunyai dasar atau mengeluarkan iklan kerja yang mendiskriminasi berdasarkan lima kumpulan ciri itu.

Lebih 20 Anggota Parlimen (AP) parti pemerintah dan parti pembangkang mengambil bahagian dalam bahas rang undang-undang itu selama dua hari pada 7 dan 8 Januari.

Antara yang menjadi keprihatinan mereka adalah berkenaan diskriminasi usia dan cara menanganinya melangkaui undang-undang.

Menjawab keprihatinan itu, Dr Tan berkata ia memerlukan pendekatan pelbagai aspek, termasuk melaksanakan amalan tempat kerja mesra usia dan menangani persepsi yang tertanam mengenai usia.

“Kami bersetuju, dan akan teruskan usaha untuk mengubah pemikiran. Garis panduan dan sumber kami akan menyokong latihan dan rekaan semula pekerjaan untuk memupuk lebih banyak tempat kerja yang mesra usia,” kata beliau.

Encik Melvin Yong (SMC Radin Mas), Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Encik Keith Chua dan Encik Yip Hon Weng (GRC Yio Chu Kang), pula telah mengutarakan tentang keperluan bagi pendidikan lebih luas untuk melenyapkan stigma terhadap mereka yang mengalami keadaan kesihatan mental.

Dr Tan berkata pemerintah akan terus menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan mental, berkongsi amalan terbaik dengan majikan dan pekerja untuk menyokong individu dengan masalah kesihatan mental dengan lebih baik, dan menggalak individu yang tertekan mendapatkan bantuan.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, pula telah memberikan saranan agar rakyat Singapura diberi hak pertama untuk mendapat pekerjaan berbanding warga asing.

Memberi respons, Dr Tan berkata beliau percaya rakyat Singapura tahu negara ini memerlukan kedudukan ditentukur yang berfungsi untuk ekonomi dan rakyat.

Bahkan, pemerintah sudah pun berusaha membanteras majikan yang berdiskriminasi sebelum wujudnya rang undang-undang itu dengan melakukan pemeriksaan ketat demi memastikan majikan mempertimbangkan semua pemohon kerja secara adil, tambah beliau.

Sepanjang lima tahun lalu, lebih 600 permohonan Pas Pekerjaan (EP) dari syarikat telah ditarik balik atau ditolak menyusuli siasatan MOM.

“Warga asing melengkapi pekerja tempatan untuk mengembangkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Singapura.

“Tenaga kerja kita kecil, dan untuk menarik syarikat global terbaik ke sini, kita mesti membolehkan mereka menggajikan bakat secara global.

“Pada masa yang sama, kami menyedari bahawa rakyat Singapura prihatin tentang layanan dan persaingan adil di tempat kerja,” kata beliau.

Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja itu adalah antara dua rang yang akan membentuk perundangan keadilan di tempat kerja baru.

Rang kedua bakal dibentangkan pada 2025 dan akan menjelaskan prosedur bagi tuntutan terhadap diskriminasi serta memerlukan pindaan kepada Akta Tuntutan Pekerjaan.

Jika kedua-dua rang itu diluluskan, perundangan keadilan di tempat kerja baru itu akan dilaksanakan pada 2026 atau 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg