Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTWU gesa orang ramai elak malukan individu susulan insiden antara penumpang, kapten bas SBS

Jan 17, 2026 | 4:54 PM
NTWU menggesa orang ramai supaya mengelak daripada mengganggu individu yang terlibat dalam insiden pada 12 Januari yang tular selepas rakaman kejadian itu dimuat naik di media sosial.
NTWU menggesa orang ramai supaya mengelak daripada mengganggu individu yang terlibat dalam insiden pada 12 Januari yang tular selepas rakaman kejadian itu dimuat naik di media sosial. - Foto fail

Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) menggesa orang ramai supaya mengelak daripada mengganggu individu yang terlibat dalam insiden pada 12 Januari yang tular selepas rakaman kejadian itu dimuat naik di media sosial.

Dalam satu kenyataan pada 17 Januari, yang turut dimuat naik di Facebook, kesatuan itu mengakui bahawa perselisihan yang melibatkan kapten bas SBS Transit dan seorang penumpang itu “telah menimbulkan tekanan kepada penumpang dan anak-anaknya”.

“Kami faham bahawa terdapat kenyataan yang dibuat dalam insiden itu yang tidak sesuai dan menyakitkan hati,” kata kesatuan itu, sambil menambah bahawa SBS Transit telah meneliti perkara tersebut dan menyemak rakaman CCTV, termasuk keseluruhan perbualan antara kedua-dua pihak.

Dalam respons kepada pertanyaan media, jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, berkata pengendali itu sedang mengambil tindakan terhadap pemandu bas bagi mengelakkan insiden berulang, sambil menambah:

“Tiada alasan bagi pemilihan kata-kata yang digunakannya dan ini tidak sejajar dengan imej dan peranan seorang kapten bas.”

Penumpang berkenaan, Cik Athirah Khairwan, 28 tahun, mengongsi kejadian tersebut dalam satu video TikTok yang setakat ini mendapat lebih 137,000 tontonan dan hampir 10,000 tanda suka.

Dalam perkongsiannya, Cik Athirah berkata pintu bas perkhidmatan 145 tertutup secara mengejut semasa beliau sedang membawa anak-anaknya menaiki bas dengan kereta sorong bertingkat.

Beliau menambah bahawa ketika hendak turun dari bas, bas itu berhenti agak jauh daripada tepi jalan, menyebabkan beliau menghadapi kesukaran.

Keadaan itu mendorong beliau untuk berhadapan dengan kapten bas, yang didakwanya tidak memberikan kerjasama.

“Saya sangat, sangat marah sehingga menjerit kepadanya,” kata beliau, sambil menambah bahawa kapten bas itu membalas dengan kata-kata yang menghina.

Cik Athirah menggesa SBS Transit agar menyiasat insiden tersebut.

Cik Wu berkata pemandu itu sepatutnya boleh “melakukan dengan lebih baik” dengan menjadikan kedudukan lebih mudah buat penumpang.

“Beliau (pemandu) seharusnya lebih bersikap bertimbang rasa dan berhentikan bas lebih dekat dengan susur jalan agar lebih mudah untuk beliau (penumpang) turun dengan kereta sorong.

“Ini juga tidak selaras dengan piawaian perkhidmatan yang kami harapkan daripada kakitangan kami dan kami memohon maaf setulusnya kepada Cik Athirah atas tekanan dan kesulitan yang dialami.

Cik Wu turut mengingatkan penumpang yang membawa kereta sorong supaya memaklumkan kepada pemandu bas bahawa mereka ingin menaiki bas dari pintu belakang sebelum berbuat demikian.

“Ini akan mengelakkan keadaan di mana pintu belakang tutup dan terkena mereka atau kereta sorong mereka selepas penumpang terakhir turun,” katanya.

Namun, Cik Wu turut menyeru agar aduan disampaikan dengan cara lebih beradab, sambil berkata:

“Kami juga ingin mengingatkan penumpang supaya menghormati kakitangan kami dengan tidak menggunakan kata-kata kesat.”

Sambil menekankan bahawa terdapat saluran tersedia bagi penumpang untuk mendapatkan penyelesaian dalam sistem pengangkutan awam, NTWU menambah:

“Dengan insiden ini telah dimuat naik dalam talian, kami menggesa orang ramai supaya tidak memalukan atau menyebarkan identiti individu terbabit, kerana ini menimbulkan tekanan…”

“Ramai pekerja pengangkutan kami juga adalah ibu bapa, dan komen negatif dalam talian menjejaskan mereka serta keluarga mereka.”

Kesatuan itu turut menambah bahawa SBS Transit sedang memberi kaunseling kesihatan mental kepada kapten bas terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg