Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NUH diiktiraf sijil mampan antarabangsa

Hospital S’pura terima pentauliahan AS, Switzerland atas usaha kurangi sisa, pelepasan gas rumah hijau, pacu amalan kitar semula
Jun 12, 2025 | 4:48 PM
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (tengah), bersama Ketua Pegawai Operasi NUH, Encik Jeremy Lee, mencuba penutup tong sampah yang direka semula, sempena Hari Hijau NUH 2025 pada 11 Jun.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (tengah), bersama Ketua Pegawai Operasi NUH, Encik Jeremy Lee, mencuba penutup tong sampah yang direka semula, sempena Hari Hijau NUH 2025 pada 11 Jun. - Foto ST

Hospital Universiti Nasional (NUH) telah menerima pengiktirafan antarabangsa atas usaha menggerakkan inisiatif mesra alam dan telah memperolehi Pensijilan Kemampanan Penjagaan Kesihatan daripada pertubuhan tidak mengaut untung dalam sektor kesihatan dari Amerika Syarikat dan Switzerland.

Pensijilan bersama itu adalah daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) di Amerika dan Pusat Kemampanan Geneva oleh Persekutuan Hospital Antarabangsa, yang berpangkalan di Geneva, Switzerland, lapor The Straits Times (ST).

Walaupun pertubuhan itu telah memberikan pensijilan dalam negara yang sama di Amerika, NUH merupakan yang pertama mendapat pentauliahan di bawah skim baru untuk memberi pengesahan kepada pertubuhan di negara lain. 

Pensijilan itu, yang mengiktiraf NUH atas usahanya mengurangkan sisa dan pelepasan gas rumah hijau, serta memacu amalan kitar semula, diumumkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada Hari Hijau NUH 2025 (NUH Green Day 2025) pada 11 Jun, satu acara kemampanan utama hospital itu yang diadakan setiap tahun. 

“Ini adalah satu penghargaan yang mengagumkan bagi ruang lingkup dan kesan inisiatif sekitaran anda, serta pengiktirafan kukuh atas iltizam anda terhadap penjagaan alam sekitar.

“Ini menetapkan penanda aras baru bagi institusi penjagaan kesihatan di seluruh dunia,” kata Cik Fu.

Di peringkat sejagat, industri penjagaan kesihatan menjana lebih 4 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau yang disumbangkan oleh penggunaan tenaga dan air yang ketara serta penjanaan sisa.

Menurut Cik Fu, kemudahan penjagaan kesihatan, termasuk hospital dan makmal penyelidikan, mempunyai permintaan tenaga yang tinggi disebabkan keperluan operasi sepanjang masa, peralatan khusus dan kawalan sekitaran yang ketat.

NUH mula beralih kepada bahan gantian mesra alam untuk gas anestetik (ubat bius) sejak 2021.

Ini menyusuli projek yang bertujuan mengurangkan penggunaan ‘desflurane’, sejenis gas anestetik yang meningkatkan potensi pemanasan sejagat 2,590 kali lebih kuat daripada karbon dioksida (CO2).

Bahan gantian seperti ‘sevoflurane’ – kira-kira 20 kali kurang berbahaya terhadap alam sekitar – dan ubat intravena yang dipanggil propofol telah digunakan oleh beberapa hospital di Singapura, termasuk NUH.

Pengurangan penggunaan ‘desflurane’ di NUH, antara April 2021 dengan Mac 2023, telah menjimatkan lebih $577,000 dan 1,904 tan dalam pelepasan CO2, bersamaan dengan mengeluarkan 680 kereta dari jalan raya.

Ia adalah salah satu usaha yang dilaksanakan oleh hospital tersebut bagi mengurangkan kesan pada alam sekitar.

Sebahagian daripada usaha itu turut diiktiraf melalui anugerah dalaman yang disampaikan semasa acara tersebut serta disasarkan kepada projek memacu kemampanan melalui operasi harian.

Beberapa projek yang berjaya meraih anugerah termasuk usaha menangani isu memberi preskripsi antibiotik secara berlebihan, serta pengurangan penggunaan kertas alas untuk katil pesakit.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika, preskripsi antibiotik berlebihan menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang sama banyaknya dengan memandu sebuah kereta biasa berkuasa petrol, mengelilingi bumi sebanyak 194.3 kali.

Tambahan pula, ia turut menyebabkan cabaran kesihatan awam sejagat dari segi ketahanan antibiotik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg