Penulis dan penterjemah, Cik Nur-El-Hudaa Jaffar, dan sasterawan Encik Jamal Ismail, merupakan antara lima penerima Geran Writers+ pada 2026.

Dalam edisi kedua tahun ini, geran tersebut – kali pertama dilancarkan pada Jun 2024 – bertujuan menyokong bakat kreatif penulis serta penterjemah tempatan, sekali gus menyuburkan ekosistem sastera Singapura.

Tiga penerima yang lain ialah penulis, Encik Daryl Yam; penterjemah, Encik Sim Wai Chew; dan penyair, Encik Jerald Lim.

Inisiatif bersama Persatuan Pelesenan dan Pentadbiran Hak Cipta Singapura (Class) dan Majlis Buku Singapura (SBC) ini dipilih daripada hampir 50 permohonan yang merangkumi pelbagai genre serta tema.

Dalam kenyataan bersama pada 19 Jun, pihak Class dan SBC menyatakan bahawa para penerima dipilih berdasarkan mutu cadangan, pengalaman lampau, serta potensi projek masing-masing.

Nilai geran yang disalurkan kepada setiap penerima adalah berbeza, bergantung pada keperluan projek yang dikemukakan.

Class dan SBC sebelum ini telah komited menyumbangkan dana berjumlah $150,000 bagi geran tersebut untuk tempoh tiga tahun.

Melahirkan rasa terima kasih atas geran yang diberikan, Cik Nur-El-Hudaa berkata geran tersebut merupakan sokongan baik kepada pengkarya yang ingin meningkatkan mutu karya mereka atau menergenre baharu.

Dana tersebut bakal dimanfaatkan beliau bagi menyempurnakan manuskrip novel fiksyen kontemporari terbaharunya yang berjudul Lara Wulan.

Kisahnya merakamkan gelora jiwa Wulan, seorang remaja yang terpaksa menganyam semula sisa hidupnya bersama keluarga bapanya yang sekian lama terasing, rentetan pemergian bonda tercinta.

“Saya seorang penulis bebas maka sebahagian geran yang saya terima dapat saya gunakan untuk mendapatkan khidmat penasihat.

“Manuskrip saya adalah percubaan saya yang pertama dalam pengkaryaan untuk pembaca remaja,” kata beliau.

Bagi Encik Jamal pula, geran ini melangkaui sekadar bantuan material; ia adalah satu bentuk sanjungan dan kepercayaan jitu terhadap denyut kreatifnya.

Fokus utama beliau kini terarah kepada usaha menterjemah naskhah Songsang, sebuah karya asalnya dalam bahasa Melayu, ke dalam bahasa Inggeris.

“Geran ini akan memberi ruang dan masa yang lebih untuk saya menumpukan perhatian kepada penulisan, khususnya dalam membangunkan karya yang menyentuh soal ingatan, identiti, serta pengalaman hidup masyarakat.

“Ia juga membantu dari sudut praktikal untuk saya menyiapkan karya dengan lebih teliti dan memberi kesan serta makna kepada pembaca,” kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Class, Encik Andrew Fong, bersama Pengarah Eksekutif SBC, Encik William Phuan, menyifatkan peningkatan jumlah pemohon sebagai cerminan kepada semangat kental para sasterawan tempatan dalam meluaskan ufuk karya mereka.

Langkah ini diyakini mampu membuka jendela baharu yang membolehkan mutiara sastera tempatan dihayati oleh khalayak yang lebih rencam.

“Kami berharap geran tersebut akan menyumbang kepada kedinamikan sektor seni sastera kita, dan mengharapkan yang terbaik buat kelima-lima penerima geran kami dalam menjayakan projek menarik mereka,” kata Encik Fong dan Encik Phuan.

Pusingan permohonan yang seterusnya bagi Geran Writers+ akan dibuka pada 29 Jun, dengan maklumat lanjut boleh didapati di laman https://www.bookcouncil.sg/writers-lab/writers-grant.