Topik diikuti
Pergi ke BHkuBuku kanak-kanak Chingay kini dalam bahasa Melayu
Buku kanak-kanak Chingay kini dalam bahasa Melayu
Karya dekatkan warisan S’pura dengan generasi muda
Buku kanak-kanak Chingay kini dalam bahasa Melayu
Bagi ramai kanak-kanak di Singapura, Perarakan Chingay mungkin dikenali melalui kereta berhias yang berwarna-warni, pakaian yang memukau dan persembahan yang meriah.
Namun di sebalik kemeriahannya, terdapat kisah tentang perpaduan, semangat kemasyarakatan dan warisan negara yang ingin diwariskan kepada generasi muda.
Kini, kisah tersebut dapat dinikmati dalam bahasa Melayu menerusi pelancaran edisi bahasa ibunda buku kanak-kanak My Little Chingay Float, yang diterbitkan oleh Persatuan Rakyat (PA).
Selain bahasa Melayu, buku itu turut diterbitkan dalam bahasa Cina dan Tamil bagi membolehkan lebih ramai keluarga meneroka kisah Chingay dalam bahasa yang dekat dengan hati mereka.
Buku yang pertama kali diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada Ogos 2025 itu mengisahkan tentang kanak-kanak bernama Meena yang membina kereta berhias untuk Perarakan Chingay.
Melalui jalan cerita yang mudah difahami, pembaca diperkenalkan kepada perarakan ikonik Singapura sambil mempelajari nilai-nilai seperti perpaduan, keterangkuman dan semangat kemasyarakatan.
Pelancaran buku tersebut pada 24 Mei itu turut menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menggalakkan budaya bercerita dalam masyarakat.
Sebagai langkah permulaan, PA akan melatih sekumpulan 50 sukarelawan pencerita yang akan menjalankan sesi bacaan interaktif dalam bahasa ibunda di prasekolah, perpustakaan awam dan acara masyarakat.
Program yang dikenali sebagai Program Pencerita Buku Kanak-Kanak Chingay itu disokong oleh beberapa rakan kerjasama termasuk Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Masyarakat Melayu juga boleh menjangkakan lebih banyak kegiatan berkaitan buku itu pada masa akan datang.
Yayasan Mendaki, misalnya, akan menampilkan My Little Chingay Float sebagai sebahagian daripada program ReadySetLearn Language Explorer sempena acara Raikan Ilmu 2026.
Kegiatan seperti membina kereta berhias dan menulis poskad akan turut disertakan bagi menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menyeronokkan untuk kanak-kanak.
Selain itu, sesi bacaan buku juga akan diadakan sempena Bulan Bahasa dan pelbagai program masyarakat lain bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang warisan Chingay.
Menurut PA, usaha seperti itu menjadi semakin penting sedang Singapura dan Malaysia bekerjasama dalam pencalonan Chingay ke Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Dengan memperkenalkan warisan itu melalui buku cerita yang mesra kanak-kanak, generasi muda dapat mengenali dan menghargai tradisi tersebut sejak usia awal.
