Nur Insan santuni 250 keluarga sepanjang Ramadan, perkukuh misi pendidikan, kebajikan
Nur Insan santuni 250 keluarga sepanjang Ramadan, perkukuh misi pendidikan, kebajikan
Bantuan sepanjang tahun meliputi pembahagian makanan, barangan dapur setiap tiga bulan
Sejak lebih sedekad, Nur Insan dikenali sebagai institusi yang menawarkan pendidikan Islam percuma tanpa mengira latar belakang pelajar.
Setiap minggu, ratusan pelajar mengikuti kelas agama yang menekankan asas ibadah, akhlak, dan pengamalan Islam dalam kehidupan.
Tidak hanya di bilik darjah, Nur Insan juga menyasarkan membantu sekurang-kurangnya 250 keluarga sepanjang Ramadan 2026 melalui pelbagai program kebajikan bagi meringankan beban golongan memerlukan.
Bantuan Makanan Setiap Tiga Bulan
Sepanjang tahun, Nur Insan menganjurkan pembahagian makanan dan barangan dapur setiap tiga bulan kepada keluarga memerlukan.
Bantuan yang disalurkan termasuk beras, minyak masak dan makanan kering, keperluan asas yang membantu keluarga menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Penerima bantuan merangkumi keluarga pelajar dan masyarakat setempat yang dikenal pasti melalui proses saringan teliti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Menurut Presiden Nur Insan, Encik Muhammad Faaris Ameerjan, usaha ini merupakan sebahagian komitmen berterusan institusi tersebut dalam memastikan tiada keluarga yang terpinggir daripada sokongan masyarakat.
“Ramadan adalah masa terbaik untuk kita menghidupkan semangat empati dan tanggungjawab terhadap ummah,” ujarnya.
Ramadhan Charity Ride
Nur Insan bakal menganjurkan program tahunan ‘Ramadhan Charity Ride’ pada 8 Mac 2026.
Melalui program ini, sukarelawan akan turun padang menyantuni keluarga memerlukan dengan menghantar barangan asas seperti beras, minyak masak dan makanan kering terus ke rumah penerima.
Program ini bukan sekadar penghantaran bantuan, malah menjadi simbol kasih sayang dan penyepaduan ummah.
Setiap penghantaran membawa mesej jelas tiada siapa seharusnya menyambut Ramadan dalam keadaan kesusahan atau kesunyian.
Iftar Kasih Bersama Penerima Zakat
Pada hari yang sama, Nur Insan menganjurkan program ‘Iftar Kasih’, iaitu majlis berbuka puasa bersama pelajar dan keluarga penerima zakat.
Program ini bertujuan meraikan golongan asnaf dalam suasana penuh keakraban, di samping menyampaikan zakat serta mengeratkan semangat berkongsi dan kebersamaan sepanjang Ramadan.
Projek Santapan Aidilfitri
Menjelang penghujung Ramadan, Nur Insan akan mengadakan ‘Projek Santapan Aidilfitri’, satu daya usaha khas menyediakan lauk Raya kepada penerima habuan.
Melalui projek ini, keluarga yang memerlukan dapat menyambut Syawal dengan hidangan istimewa tersaji di meja mereka bagi memastikan Aidilfitri diraikan dengan penuh kegembiraan dan bermakna.
Seruan Menunaikan Fidyah dan Zakat Harta
Bagi memastikan semua daya usaha berjalan lancar, Nur Insan mengajak masyarakat Islam di Singapura menunaikan fidyah dan zakat harta melalui institusi tersebut.
Sumbangan akan disalurkan kepada golongan asnaf serta menyokong pendidikan Islam percuma sepanjang tahun.
Menurut Encik Faaris, setiap fidyah dan zakat harta bukan sahaja kewajipan, malah peluang berkongsi rezeki dan memperkukuh ummah.
Dengan sasaran membantu 250 keluarga sepanjang Ramadan, Nur Insan berharap lebih ramai tampil menyokong usaha yang menggabungkan pendidikan, kebajikan dan semangat persaudaraan, agar tiada keluarga tercicir daripada sokongan masyarakat.
SEKILAS:
Pelbagai daya usaha kebajikan disediakan sepanjang Ramadan. Untuk maklumat lanjut, lungsuri laman https://www.nurinsan.sg/donate

