Meskipun kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mengubah landskap pendidikan, baik dari segi cara mahupun apa yang dipelajari oleh pelajar, guru tetap menjadi tunjang utama pendidikan.
Sedang AI mengubah pelbagai industri dan keadaan di bilik darjah, ia tidak dapat menggantikan sentuhan manusia dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh para guru, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Ini selaras dengan keperluan pelajar dalam membina kemahiran insaniah yang penting bagi kejayaan mereka seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan mudah suai, celik budaya merentas masyarakat dan berempati, tambah beliau.
“Para pelajar perlu memperkukuh kecekapan insaniah utama ini yang tidak mudah digantikan oleh AI dan teknologi.
“Namun, di sebalik perubahan dalam apa yang perlu dipelajari oleh pelajar, guru tetap menjadi tunjang utama dalam pendidikan. Teknologi tidak dapat menggantikan sentuhan manusia dan keprihatinan yang dibawa oleh para guru,” ujar Encik Lee lagi.
Beliau berkongsi pengamatannya semasa acara pelancaran dapatan Kajian Antarabangsa Pengajian dan Pelajaran (Talis) 2024 di pejabat Kementerian Pendidikan (MOE), di North Buona Vista Drive, pada 7 Oktober.
Kajian yang dikendalikan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) itu meninjau sekitar 194,000 guru di serata dunia, merentasi 55 sistem pendidikan.
Ini merupakan kali ketiga Singapura menyertai kajian tersebut, selepas 2013 dan 2018.
Ia bertujuan membantu negara-negara menilai semula dasar memperkukuh kerjaya guru di samping menyediakan maklumat mengenai pendidikan dan pembangunan profesional guru, beban kerja, kepercayaan pengajaran dan amalan pengajaran mereka.
Acara pelancaran tersebut diadakan seiringan dengan penerbitan dapatan hasil Talis 2024, yang melaporkan guru-guru di Singapura merupakan antara pengguna AI dalam pendidikan yang paling aktif di dunia.
Khususnya, tiga dalam empat guru di sini (75 peratus) menggunakan AI untuk mengajar atau memudahkan pembelajaran, melebihi dua kali ganda purata guru di negara-negara OECD, iaitu 36 peratus.
Menurut kajian tersebut, 77 peratus guru di Singapura sering menggunakan AI untuk mengajar dan merumuskan sesuatu topik, diikuti 69 peratus yang menggunakannya untuk menjana teks bagi maklum balas pelajar atau komunikasi dengan ibu bapa atau penjaga, serta 65 peratus bagi menyediakan pelan pengajaran atau aktiviti.
Sementara itu, dapatan kajian juga menunjukkan guru di Singapura jarang menggunakan AI dalam segmen berikut – menilai atau menyemak tugasan pelajar (34 peratus), menyemak data mengenai penyertaan atau prestasi pelajar (28 peratus) dan menyokong pelajar dengan keperluan pendidikan khas (16 peratus).
Mengulas lebih lanjut tentang perangkaan tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan MOE, Cik Liew Wei Li, berkata adalah menggalakkan melihat guru-guru berjaya menyepadukan AI secara bermakna dalam pendekatan pengajaran mereka.
“Kami tahu AI generatif (Gen AI) baru muncul tetapi mereka masih mampu menyepadukannya ke dalam pendekatan pengajaran mereka.
“Mereka juga menggunakannya untuk meningkatkan daya penghasilan kerja serta menganalisis cara pelajar belajar,” kongsi Cik Liew.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) melalui e-mel mengenai penerapan teknologi dalam mengurangkan beban kerja guru, Pengetua Sekolah Rendah Yew Tee, Cik Nur Sabariah Mohd Ibrahim, melihat teknologi sebagai pemudah dalam mengurangkan kerja berlebihan.
“Tugasan yang sebelum ini memerlukan berjam-jam secara manual seperti mengumpul, menyusun dan menganalisis maklum balas tinjauan kini boleh diselesaikan dalam beberapa minit sahaja.
“Teknologi bantu menguruskan kerja-kerja rutin, manakala kami tetap memikul proses membuat keputusan dan tindak balas pedagogi,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg