Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NUS lancar program ijazah kedoktoran amalan kejururawatan

Ye Kung: Usaha persiap jururawat pegang peranan kepimpinan dalam tangani cabaran kesihatan sedang penduduk kian menua
Aug 1, 2025 | 8:21 PM
NUS, ijazah kedoktoran amalan kejururawatan, Ong Ye Kung
Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung (tengah, bersebelahan maskot) berkata, dengan penduduk yang semakin menua, keperluan melibatkan jururawat turut berubah. - Foto ZAOBAO

Bagi mempersiap jururawat untuk memegang peranan kepimpinan dalam menangani cabaran kesihatan yang semakin rumit di negara yang sedang pesat menua ini, Universiti Nasional Singapura (NUS) telah melancarkan program ijazah kedoktoran amalan kejururawatan pertama di Singapura.

Program yang dikenali sebagai, Doctor of Nursing Practice (DNP), merupakan program sambilan selama dua tahun yang memperkasa jururawat untuk menerajui langkah penambahbaikan sistem secara menyeluruh, mempengaruhi dasar kesihatan dan meningkatkan penyampaian penjagaan.

Ia dijalankan sambil para jururawat meneruskan tugas klinikal masing-masing, kata Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, semasa pelancaran DNP pada 1 Ogos.

Program itu diperkenalkan ketika keperluan kesihatan semakin berkembang, dan usaha untuk menarik serta mengekalkan jururawat menjadi semakin penting bagi memenuhi permintaan yang meningkat di Singapura, di tengah-tengah kekurangan jururawat di peringkat sejagat.

“Keperluan terhadap jururawat sering berubah dan kini berubah dengan lebih pantas kerana penduduk kita yang semakin menua, membawa kepada kepelbagaian jenis pesakit.

“Apabila pesakit semakin berusia, mereka kurang memerlukan rawatan sekali-sekala, sebaliknya lebih memerlukan penjagaan yang bersepadu dan menyeluruh bagi mengurus pelbagai keadaan kesihatan yang kompleks dengan lebih baik,” kata Encik Ong.

NUS turut memperkenalkan tiga program ijazah sarjana baru yang direka khusus untuk jururawat yang sedang bekerja bagi meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang kesihatan masyarakat, rawatan rapi dan kawalan jangkitan, lapor The Straits Times (ST).

Program baru itu ditawarkan oleh Pusat bagi Pembelajaran Kejururawatan Alice Lee NUS (NUS Nursing), yang menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya bersempena dengan Hari Jururawat pada 1 Ogos.

Ketua NUS Nursing, Profesor Liaw Sok Ying, berkata program baru itu juga bertujuan untuk menarik dan mengekalkan jururawat serta mengangkat martabat pekerjaan tersebut di Singapura.

Jururawat kini semakin memegang peranan kepimpinan, bukan sahaja dalam bidang pengurusan bahkan juga dalam bidang klinikal khusus yang memenuhi keperluan sistem penjagaan kesihatan negara, tambah Profesor Liaw.

Kumpulan pertama program ijazah kedoktoran itu terdiri daripada 16 pelajar, termasuk seorang jururawat Amerika berketurunan Filipina dan 15 jururawat yang bekerja di Singapura dalam bidang penjagaan masyarakat serta rawatan akut. 

Tujuh daripada mereka adalah Jururawat Amalan Lanjutan (APN).

Mereka akan memulakan pengajian pada Ogos dan boleh terus bekerja sambil mengikuti program tersebut.

Menurut Encik Ong, latihan kejururawatan pada masa depan akan menjadi lebih fleksibel dan berperingkat, berasaskan kemahiran yang membolehkan tenaga kerja bertindak pantas mengikut perubahan keperluan serta menyesuaikan diri dengan landskap penjagaan kesihatan yang baru, sambil mengekalkan piawaian yang tinggi.

Sejak penubuhannya pada 2005, NUS Nursing telah melatih lebih 3,500 karyawan kejururawatan, termasuk 500 Jururawat Amalan Lanjutan (APN).

Bersempena ulang tahun ke-20 pusat tersebut, mereka turut melancarkan Galeri Pendidikan Kejururawatan bagi mempamerkan evolusi, pencapaian, dan sumbangan pendidikan serta amalan kejururawatan di Singapura sepanjang dua dekad lalu.

Timbalan Ketua (Program Possiswazah) NUS Nursing, Profesor Madya Zhou Wentao, berkata pendidikan kejururawatan sedang berkembang untuk memenuhi tuntutan penjagaan kesihatan, di mana jururawat bukan sahaja berperanan sebagai penjaga pesakit, malah, pemimpin dalam menerajui inovasi dan perubahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg