Topik diikuti
Pergi ke BHkuNUS latih 74 pelajar pandu lawatan, hadkan akses bagi urus aliran pengunjung
NUS latih 74 pelajar pandu lawatan, hadkan akses bagi urus aliran pengunjung
Sekumpulan 74 pelajar dari Universiti Nasional Singapura (NUS) telah dilatih untuk mengendalikan lawatan sekitar University Town, sebagai sebahagian daripada usaha menguruskan aliran pengunjung yang tinggi di universiti itu.
Para pelajar ini, yang terdiri daripada duta atau pemandu lawatan, akan mengajak pengunjung mengelilingi kampus University Town, kata NUS pada 14 Januari, sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST).
Dari 13 Januari hingga 21 Februari, pengunjung perlu membuat tempahan awal untuk lawatan berpandu yang dikendalikan oleh pelajar terlatih ini, jelas NUS.
Menurut surat pekeliling pada 13 Januari yang dikeluarkan oleh Penolong Provos bagi pendidikan sarjana muda, Profesor Daniel Goh, kumpulan yang membuat tempahan lawatan awal juga dikehendaki menyerahkan butiran nombor pendaftaran bas mereka.
Langkah ini diambil ketika NUS terus berusaha untuk menguruskan aliran pelancong yang tinggi di kampus semasa musim puncak pelancongan dari Januari hingga Februari, serta Ogos, kata Profesor Goh.
Ini merupakan langkah terbaru universiti itu dalam menangani peningkatan aliran pengunjung sejak 2024, lapor ST.
Pengunjung “perlu mematuhi dengan ketat garis panduan universiti mengenai lawatan kampus”, kata Profesor Goh, sambil menambah bahawa mereka harus “menjaga tatatertib pengunjung” untuk mengehadkan gangguan terhadap pelajar.
Mereka juga akan diberikan “pengenalan khas supaya mudah dicam”, katanya.
Pas Akses Digital Kampus juga telah diperkenalkan mulai 13 Januari. Pas perintis itu akan memberi tetamu rasmi universiti dan vendor yang diluluskan akses ke medan selera UTown serta bas ulang-alik dalaman universiti semasa waktu akses terhad.
Waktu akses terhad pada hari bekerja antara 13 Januari hingga 21 Februari adalah dari 11 pagi hingga 2 petang bagi medan selera UTown, manakala perkhidmatan bas ulang-alik dalaman universiti hanya boleh diakses dari 8 pagi hingga 2 petang.
Bagi menyokong usaha itu, kesatuan pelajar universiti telah menetapkan sekumpulan pelajar untuk bekerjasama dengan pegawai keselamatan untuk memastikan pematuhan garis panduan pengunjung di medan selera dan bas ulang-alik dalaman, serta membantu menguruskan orang ramai, kata NUS.
Pihak universiti “kekal komited dalam memastikan gangguan terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar serta kakitangan dapat dihadkan”, sambil menambah langkah jangka panjang sedang dirangka dengan “rundingan rapat” bersama badan kesatuan pelajar.
Dalam surat pekeliling itu, Profesor Goh menyatakan bahawa individu yang menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong mesti memiliki lesen yang sah daripada Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Semua pelajar NUS yang menjalankan lawatan di kampus turut diwajibkan mendaftar sebagai duta atau pemandu pelajar.
Pemandu pelancong tanpa lesen yang didapati menjalankan lawatan di NUS akan dilaporkan kepada pihak berkuasa, manakala pelajar yang mengadakan lawatan tanpa tempahan akan dikenakan tindakan disiplin, tambahnya.