Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NWC saran beri kenaikan gaji lebih tinggi kepada pekerja gaji rendah

Garis panduan majlis termasuk gesaan majikan teruskan transformasi perusahaan, tenaga kerja dan peningkatan kemahiran pekerja; pemerintah terima saranan
Oct 10, 2024 | 9:03 PM
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), telah mengumumkan Garis Panduan 2024/2025 dalam satu sidang media pada 10 Oktober di bangunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), telah mengumumkan Garis Panduan 2024/2025 dalam satu sidang media pada 10 Oktober di bangunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM). - Foto FAIL

Majikan pekerja bergaji rendah, iaitu hingga $2,500, harus memberi kenaikan gaji asas pada paras lebih tinggi, iaitu antara 5.5 hingga 7.5 peratus daripada gaji kasar bulanan buat pekerja mereka.

Sementara itu, majikan yang mencapai prestasi yang baik pula harus menawarkan kenaikan gaji berupa sekurang-kurangnya antara $100 hingga $120, meskipun ia lebih tinggi daripada julat peratusan yang ditetapkan.

Bagi majikan yang tidak mencapai prestasi yang baik, NWC mengesyorkan agar mereka memberi pekerja bergaji rendah kenaikan gaji terbina pada peringkat paling bawah julat peratusan yang ditetapkan, tetapi mereka harus mempertimbangkan kenaikan gaji selanjutnya jika prospek perniagaan bertambah baik.

Itulah antara saranan dalam Garis Panduan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) 2024/2025 yang diumumkan dalam satu sidang media pada 10 Oktober di Bangunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) oleh Pengerusi NWC, Encik Peter Seah.

Pemerintah telah menerima tetapi tidak mewajibkan saranan NWC, jelas MOM dalam satu kenyataan pada 10 Oktober.

Garis panduan itu meliputi tempoh dari 1 Disember 2024 hingga 30 November 2025.

Bagi pekerja secara umum, NWC mengesyorkan agar majikan yang telah mencapai prestasi cemerlang dalam prospek perniagaan memberi ganjaran kepada pekerja mereka dengan kenaikan gaji dan bayaran berubah-ubah seperti bonus atau bayaran sekali sahaja yang terikat dengan prestasi majikan dan caruman pekerja.

Majlis itu juga menyeru majikan supaya melaksanakan Sistem Gaji Fleksibel (FWS) serta meneruskan usaha transformasi perusahaan dan tenaga kerja, yang termasuk peningkatan dan peningkatan semula kemahiran pekerja.

Bagi merapatkan jurang gaji antara pekerja bergaji rendah dengan pekerja gaji median sepanjang dekad ini, gaji mereka mesti berkembang lebih cepat daripada gaji median, ujar NWC.

“Jika prospek perniagaan bertambah baik, majikan harus mempertimbang kenaikan gaji selanjutnya,” tambah majlis itu.

NWC menyeru semua majikan yang belum melaksanakan FWS sepenuhnya supaya berbuat sedemikian.

FWS, yang terdiri daripada dua komponen – komponen berubah-ubah tahunan (AVC) dan komponen berubah-ubah bulanan (MVC) – membolehkan majikan membuat pelarasan pantas semasa kegawatan bagi mengekalkan perniagaan mereka dengan mengurangkan kos dan bukan pekerjaan.

“Majikan harus menangani prospek perniagaan tidak menentu dengan melaksanakan FWS untuk memberi ganjaran kepada pekerja mereka sambil mengekalkan fleksibiliti gaji.

“Majikan yang tidak mempunyai prestasi baik boleh melaksanakan sekatan gaji yang diterajui oleh pemimpin pengurusan.

“Majikan juga harus berusaha dengan gigih untuk menambah baik proses perniagaan dan daya penghasilan mereka, terutamanya dengan melabur dalam meningkatkan kemahiran pekerja mereka,” kata NWC.

Setiausaha Tetap MOM, Encik Ng Chee Kern, berkata pemerintah turut menyokong seruan agar majikan dan pekerja mengambil pendekatan proaktif dalam peningkatan kemahiran dan peningkatan semula kemahiran.

“Adalah penting majikan dan pekerja bersedia menghadapi perubahan dalam fungsi kerja di tengah-tengah kadar transformasi pesat,” kata Encik Ng, sambil memberi contoh Program Penukaran Kerjaya (CCP) dan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) sebagai langkah yang boleh diambil oleh majikan.

Penolong Setiausaha Kehormat Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Cik Kohe Hasan, juga menyokong seruan bagi kenaikan gaji adil dan mampan, namun menambah bahawa ia “harus dilaksanakan dengan strategik”.

“Kami juga menyokong saranan untuk kenaikan gaji yang disasarkan bagi pekerja berpendapatan rendah tetapi kita perlu mengakui bahawa sektor domestik, yang terdapat kebanyakan pekerja berpendapatan rendah, sedang menghadapi tekanan besar.

“Oleh itu, garis panduan ini juga memberikan fleksibiliti kepada majikan untuk melaksanakan saranan itu berdasarkan prestasi dan prospek perniagaan mereka,” tambah Cik Kohe.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg