Taikun hartanah, Ong Beng Seng, telah diberi kebenaran untuk meninggalkan Singapura, di tengah-tengah proses prosiding mahkamah, di mana beliau dikenakan dua pertuduhan pada awal Oktober.
Dia hadir di Mahkamah Negara bersama peguamnya, Encik Aaron Lee, daripada Allen dan Gledhill, sebelum tengah hari pada 30 Oktober.
Ong, 78 tahun, mendapat kebenaran meninggalkan Singapura untuk ke London, Boston, Gibraltar dan Sepanyol bagi urusan kerja dan mendapatkan rawatan perubatan, dengan ikat jamin tambahan sebanyak $800,000.
Ong, yang dijadualkan meninggalkan Singapura pada 31 Oktober, perlu pulang ke sini sebelum 9 November, dan seterusnya menyerahkan pasportnya dalam masa 24 jam.
Semasa perjalanannya, dia perlu memastikan yang dia boleh dihubungi oleh pegawai penyiasat.
Dia juga tidak dibenarkan melakukan perjalanan dengan penjaminnya.
Ong sebelum ini telah bebas dengan ikat jamin sebanyak $800,000 susulan kehadirannya di mahkamah pada 4 Oktober berkaitan siasatan jenayah yang melibatkan bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran.
Jutawan itu dikenakan satu pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 165, yang menjadikannya satu kesalahan bagi penjawat awam menerima apa-apa nilai daripada sesiapa yang terlibat dengannya dalam perniagaan rasmi, tanpa bayaran atau dengan bayaran tidak memadai.
Menurut dokumen mahkamah, Ong didakwa menghasut Iswaran mendapatkan barang berharga dengan menawarkan bekas menteri itu lawatan dari Singapura ke Doha melalui pesawat peribadinya bernilai AS$7,700 ($10,410), mengatur penginapan satu malam di Four Seasons Hotel Doha dengan nilai $4,737.63, serta penerbangan kelas bisnes dari Doha ke Singapura dengan nilai $5,700.
Ong dituduh bersubahat menghalang proses keadilan apabila dia memaklumkan Iswaran bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah merampas dokumen penerbangan untuk perjalanan itu.
Ini kemudian mendorong Iswaran meminta Ong supaya mengenakan bil bagi penerbangan itu kepadanya untuk mengelakkan siasatan, lapor The Straits Times (ST).
Iswaran, 62 tahun, menghadapi 35 pertuduhan, kebanyakannya membabitkan Ong, dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada 3 Oktober.
Menurut Pejabat Peguam Negara (AGC), tiada pertuduhan tambahan akan dikenakan terhadap Ong berhubung kes bekas menteri itu.
Peguam Ong, pada 4 Oktober, meminta penangguhan selama enam minggu daripada mahkamah kerana memerlukan masa untuk menerima arahan daripada anak guamnya.
Ong akan kembali ke mahkamah pada 15 November.
Jika disabit kesalahan bersubahat dengan penjawat awam dalam mendapatkan hadiah, Ong boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Jika disabit kesalahan bersubahat menghalang proses keadilan, Ong boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg