Singapura telah memulakan fasa seterusnya untuk membersihkan perairan dan pantainya berikutan tumpahan minyak pada 14 Jun, selepas hampir menyelesaikan penyingkiran minyak pukal pada fasa pertama.
Operasi pembersihan fasa kedua ini termasuk pembersihan sisa-sisa minyak yang lebih sukar yang terperangkap di kawasan seperti di celah-celah batu, infrastruktur tepi air dan bongkah batu yang tidak mudah diakses dan memerlukan usaha yang besar melibatkan sumber serta peralatan khusus.
Memberi kemas kini tersebut, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata situasi tumpahan minyak yang berlaku itu kekal dinamik dan pihak berkuasa akan terus memantau situasi di laut termasuk melihat sama ada terdapat minyak yang mungkin timbul semula dan menjejas pantai Singapura.
Dalam kenyataan bersama silang agensi yang dikeluarkan pada 24 Jun, fasa kedua pembersihan tumpahan minyak itu akan dilakukan dengan teliti, mengambil kira keadaan di tapak pembersihan termasuk angin, pasang surut air dan arus air laut.
Ini untuk meminimumkan minyak yang terperangkap di bongkah batu daripada mengotori semula laut, pantai dan kawasan yang terdapat biodiversiti.
“Kami bekerjasama dengan konsultan tumpahan minyak untuk mengerahkan kaedah pembersihan paling berkesan sementara meminimumkan pencemaran pembersihan ke kawasan sekitarnya,” kata kenyataan itu.
Bagi kawasan yang paling teruk terjejas seperti pantai Tanjong dan Palawan di Sentosa, operasi pembersihan dijangka mengambil masa tiga bulan, menurut pihak berkuasa.
Aktiviti di dalam air termasuk berenang hanya akan dibenarkan selepas mutu air dianggap selamat dan stabil meskipun pantai sudah dibersihkan dan dibuka semula kepada awam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg