Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tumpahan minyak di S’pura: Kerajaan M’sia teliti tuntutan nelayan Johor

Jun 24, 2024 | 1:34 PM
Petugas daripada syarikat kontraktor yang dilantik giat menjalankan kerja pembersihan sisa tumpahan minyak di pantai Johor ekoran tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang, Singapura.
Petugas daripada syarikat kontraktor yang dilantik giat menjalankan kerja pembersihan sisa tumpahan minyak di pantai Johor ekoran tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang, Singapura. - Foto FACEBOOK AH SOON (EXCO JOHOR)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan memperhalusi tuntutan nelayan Johor yang terjejas akibat insiden tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang, Singapura, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan akan menilai permintaan nelayan terbabit yang menuntut ganti rugi kepada pihak terlibat dalam insiden tumpahan minyak itu.

“Kita akan kaji tuntutan yang dibuat oleh mereka (nelayan) berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada dan melihat cara yang boleh diambil untuk menangani masalah ini,” katanya lapor The Star.

Encik Nik Nazmi berkata demikian ketika diminta mengulas insiden tumpahan minyak membabitkan dua kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura baru-baru ini, yang menjejas beberapa pantai di bahagian selatan Johor, pada 1 Jun lalu.

Tumpahan bahan api marin (MFO) itu berlaku apabila kapal Vox Maxima dari Belanda melanggar kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura, yang menyebabkan kira-kira 400 tan tumpahan minyak di perairan sekitar pantai Singapura dan kemudian merebak ke perairan Malaysia.

Media Singapura pada 20 Jun melaporkan bahawa republik itu akan meminta pampasan bagi kerugian yang ditanggung dalam tumpahan minyak itu daripada pemilik kapal yang melepaskan minyak itu.

Encik Nik Nazmi memaklumkan setakat ini kerja pembersihan fasa satu yang dilaksanakan kontraktor dilantik di kawasan terjejas melibatkan pengumpulan sisa sampah berminyak sudah mencapai 95 peratus.

Beliau berkata fasa kedua pembersihan melibatkan penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil pula sudah 20 peratus selesai.

“Berdasarkan pemantauan kami, Pantai Sungai Rengit, perkampungan nelayan dan bahagian jeti bersih daripada pencemaran. Namun, kami akan terus memantau,” katanya.

Encik Nik Nazmi berkata kerja pembersihan sisa minyak di Pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh seminggu, sekiranya keadaan cuaca baik.

Beliau berkata penemuan minyak juga dilapor dikesan di kawasan Pulau Cik Kamat, Pengerang, dan kontraktor akan dihantar untuk melakukan pembersihan selepas penilaian keadaan di kawasan itu selesai.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah menggerakkan aset untuk memantau perairan Pengerang hingga ke Pangkalan Maritim Abu Bakar, yang terletak bersebelahan Pedra Branca, milik Singapura, dan setakat ini tiada tompokan minyak dikesan di kawasan terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg