Sebuah tajaka di Tampines, sebelum ini dikendali badan Melayu/Islam Majlis Pusat Singapura yang telah diarahkan tutup baru-baru ini, akan terus beroperasi di bawah penyeliaan pihak penyelesai, kata Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).
Menjawab pertanyaan media, Ecda dalam kenyataannya pada 7 Jun, berkata ia sedar terhadap penggulungan Majlis Pusat dan telah berhubung bersama pihak penyelesai yang dilantik berkenaan status Little Beez Playskool yang dikendalikan Majlis Pusat sebelum ini.
Majlis Pusat diberi arahan penggulungan berkuat kuasa pada 20 Mei lalu, dan diminta tutup selepas ia gagal melunaskan tuntutan berjumlah hampir $400,000 kepada seorang pemilik syarikat.
Menurut laman Majlis Pusat, Little Beez Playskool, terletak di 491H Tampines Street 45, ditubuhkan pada 2000, dan dari 2009 hingga 2020, ia telah melantik vendor untuk menguruskan pusat tajaka itu.
“Sebelum pihak penyelesai menyelesaikan rancangan bagi Little Beez Playskool, tajaka itu akan terus beroperasi di bawah kepimpinan guru besarnya dan penyeliaan penyelesai,” kata Ecda.
Ia menambah, pihak penyelesai telah memberitahu kakitangan tajaka dan ibu bapa mengenai keadaan itu dan akan mengemas kini golongan tersebut dan Ecda berkenaan perkembangan lanjut.
ECDA berkata ia menumpukan kemaslahatan kanak-kanak tajaka dan kakitangannya.
“Kami sedang memantau dengan teliti operasi tajaka itu,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg