Orang ramai yang ingin mengunjungi Orchard Road pada 24 Disember harus bersedia menghadapi kesesakan dan langkah keselamatan yang dipertingkat, selain terdapat beberapa jalan di kawasan itu juga akan ditutup.
Menurut kenyataan polis pada 22 Disember, pasukan pegawai polis, polis bantuan dan pegawai keselamatan akan dikerahkan untuk mengurus kesesakan orang ramai di kawasan Orchard Road mulai petang 24 Disember.
Pengadang kawalan dan papan tanda arah akan dipasang untuk memudahkan aliran orang ramai secara selamat dan teratur.
Satu pesta jalanan juga bakal berlangsung di Orchard Road dari simpang Paterson (ION Orchard) ke simpang Bideford (Ngee Ann City) dari 8 malam pada 24 Disember hingga 12.15 pagi pada 25 Disember.
Jalan yang akan ditutup kepada semua kenderaan dari 6 petang pada 24 Disember hingga 2 pagi pada 25 Disember termasuk Orchard Road (antara Scotts Road dengan Bideford Road); susur jalan dari Scotts Road ke Orchard Road; laluan Mount Elizabeth ke arah Orchard Road (antara Nutmeg Road dengan Orchard Road).
Orang ramai yang ingin menuju ke Hospital Mount Elizabeth boleh menggunakan laluan alternatif dari Bideford Road ke Mount Elizabeth Link.
Semasa penutupan jalan, akses hanya akan diberikan kepada kenderaan yang dibenarkan, serta kenderaan polis dan kenderaan kecemasan.
Polis bantuan akan ditempatkan di semua persimpangan jalan yang terjejas untuk mengawal lalu lintas dan membantu pemandu kenderaan.
Papan tanda juga akan dipasang berhampiran jalan yang terjejas.
Pemandu digalakkan mendengar radio untuk mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan lalu lintas.
Pegawai Divisyen Polis Tanglin, termasuk Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT), Komand Keselamatan Perlindungan, Komand Keselamatan Pengangkutan dan Komand Operasi Khas (SOC) akan melakukan rondaan yang dipertingkat untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.
Sepanjang tempoh ini, anggota keselamatan boleh memeriksa beg dan barangan peribadi, dengan orang ramai dinasihatkan untuk bekerjasama dengan pegawai sedemikian.
Memandangkan Stesen MRT Orchard dijangka sesak, pintu masuk dan keluar tertentu boleh ditutup untuk mengawal aliran orang ramai jika perlu, tambah polis.
Orang ramai dinasihatkan menggunakan stesen MRT Somerset bagi mengurangkan masa menunggu, atau menggunakan pilihan pengangkutan awam lain.
Orang ramai juga digalakkan untuk menyemak peta Crowd@OrchardRoad di laman web go.gov.sg/crowd-at-orchard-road untuk meninjau keadaan kesesakan dan penutupan kawasan secara langsung sebelum meneruskan perjalanan ke Orchard Road.
Orang ramai boleh mengakses platform ini melalui peranti mudah alih mereka mulai 5 petang pada 24 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg