Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuruhanjaya Keselamatan Dalam Talian arah hantaran TikTok mengenai Faishal diturunkan
Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian arah hantaran TikTok mengenai Faishal diturunkan
OSC telah tangani 200 laporan gangguan berbahaya dalam talian sejak Jun
Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian arah hantaran TikTok mengenai Faishal diturunkan
Satu hantaran TikTok yang mendakwa seorang jurulatih kecergasan terlibat dalam peletakan jawatan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah diturunkan atas arahan Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC).
OSC, yang mula beroperasi pada 29 Jun, membantu mangsa gangguan berbahaya dalam talian menurunkan kandungan berkenaan dengan segera serta menyekat akaun pesalah.
Aduan mengenai hantaran tersebut dan beberapa kandungan lain telah diterima pada 28 Julai.
Menurut jurucakap OSC, siasatan mendapati kegiatan bahaya dalam talian telah berlaku dan kandungan itu segera diturunkan.
OSC turut menyiasat kandungan lain yang dikenal pasti dalam laporan tersebut, dan akan “mengambil tindakan sewajarnya yang mana perlu”.
Namun OSC tidak mendedahkan identiti pengadu tersebut.
Secara berasingan, seorang jurulatih kecergasan, Cik Rasidah Caudal, telah menafikan dakwaan bahawa beliau ialah wanita yang dikaitkan dengan peletakan jawatan Dr Faishal itu.
Dalam hantaran Instagram pada 27 Julai, Cik Rasidah berkata beliau hanya bertemu Dr Faishal pada dua acara kecergasan yang diadakan di Kelab Masyarakat (CC) Kampung Ubi.
Hantaran Instagram itu turut memaparkan tangkap layar mesej Telegram daripada individu tidak dikenali yang menggunakan gambar Cik Rasidah dan mendakwa beliau telah menyebabkan Dr Faishal meletakkan jawatan.
Pada hari yang sama, Encik Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), dalam satu hantaran Facebook berkata seorang wanita telah tersilap dikenal pasti sebagai individu yang terlibat dalam kes Dr Faishal itu, dan menjadi sasaran tuduhan palsu serta komen berunsur penghinaan.
Beliau menegaskan, tiada orang yang tidak bersalah sepatutnya menjadi mangsa andaian tidak berasas.
Encik Zaqy mengambil alih tugas pada 20 Julai selepas Dr Faishal meletakkan jawatan daripada politik menyusuli interaksi tidak wajar dengan seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan.
“Ramai antara kita masih berusaha menerima hakikat kesedihan dan kekecewaan akibat peristiwa baru-baru ini. Namun, kita tidak seharusnya menyebabkan orang lain menanggung penderitaan yang sama,” kata Encik Zaqy.
Sejak Jun, OSC yang mempunyai 40 kakitangan telah menerima sekitar 200 laporan gangguan berbahaya dalam talian.
Antara kes itu ialah dua kanak-kanak yang nombor telefon dan gambar mereka disiarkan dalam talian, serta seorang mangsa yang rakaman intimnya dimuat naik ke laman web lucah tanpa kebenarannya.
Pada masa ini, OSC memberi tumpuan kepada lima bentuk gangguan berbahaya dalam talian yang paling lazim dan serius, iaitu penyalahgunaan imej intim, penderaan kanak-kanak berasaskan imej, ‘doxing’ (penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran), gangguan dalam talian dan penghendapan dalam talian.
Lapan lagi bentuk gangguan berbahaya dalam talian seperti penyamaran identiti dalam talian dan penyalahgunaan kandungan pemalsuan mendalam (’deepfake’) akan ditangani pada peringkat seterusnya.
Mangsa boleh membuat laporan melalui laman web OSC di www.osc.gov.sg.
Jika gangguan tersebut disahkan, OSC boleh mengarahkan pelaku atau pentadbir wadah seperti Facebook, Instagram, TikTok, X dan YouTube supaya menurunkan kandungan itu atau menyekat akaun pelaku.
Mangsa akan dimaklumkan mengenai perkembangan kes mereka.