Walaupun usia semua pemain Katong FC yang mewakili pasukan dalam kejohanan Bola Sepak Antarabangsa IRC ke-12 sudah menjangkau lebih 55 tahun, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengharumkan nama negara.
Ini setelah skuad asal Singapura itu ditabal sebagai juara kategori Grandmaster – kategori bagi pemain berusia 55 tahun ke atas – dalam kejohanan bola sepak tujuh sepasukan yang diadakan pada 8 dan 9 Jun di Arena IRC, Negeri Sembilan, Malaysia.
Sebagai juara, pasukan tersebut, yang diwakili sembilan pemain otai (orang lama), membawa pulang pingat emas dan hadiah wang tunai bernilai RM4,000 ($1,140).
Daripada senarai pasukan yang dilihat Berita Harian (BH) di Facebook Arena IRC Negeri Sembilan, Katong FC menewaskan 15 pasukan lain termasuk yang terdiri daripada kelab antarabangsa dari negara seperti Brunei dan China.
Berkongsi kepada BH baru-baru ini, pemain serangan Katong FC, Den Mulia Yusni, 57 tahun, berkata beliau amat terharu dengan kemenangan pasukan.
Mentelah bapa seorang anak itu turut menyandang tempat sebagai pemain terbaik kejohanan bagi kategorinya dan membawa pulang piala individu.
Beliau menambah, sungguhpun ini bukanlah kali pertamanya dalam pertandingan sedemikian, ia merupakan kali pertama kali bermain bersama pasukan ini.
“Ada beberapa pemain yang saya tidak begitu kenal. Di sinilah kami mengamati pergerakan dan kekuatan sesama dan saling membantu antara satu sama lain.
“Semua pemain datang daripada latar belakang berbeza dan ada pekerjaan masing-masing jadi kami tidak berlatih secara serius, lebih kepada mengadakan perlawanan persahabatan jika waktu mengizinkan (sebagai persiapan),” kongsinya.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata di sebalik peluang mengekalkan kecergasan fizikal, pertandingan tersebut merupakan “cabaran baik” bagi menyemai semangat keolahragaan dan kekalkan daya saing, khususnya dalam peringkat usia sepertinya.
“Kami sedia maklum pada usia sebegini, pemulihan tidak begitu pantas seperti sebelum ini jadi kami perlu betul-betul jaga pemakanan, minum banyak air dan lakukan aktiviti memanaskan serta meregangkan badan dengan betul,” tambahnya.
Kapten pasukan, Raymond Tan, berkata secara keseluruhan Katong FC bermain lapan perlawanan sepanjang dua hari pertandingan itu diadakan, dengan perlawanan paling mencabar adalah dalam peringkat separuh akhir menentang kelab dari Kelantan.
Beliau menjelaskan: “Dalam peringkat saringan, kami tahu kami akan berhadapan dengan pasukan sukar seperti kelab dari Brunei, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Oleh itu, kami perlu tumpukan kepada menjana momentum dalam setiap perlawanan dan berikan yang terbaik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg