Penjana elektrik tempatan PacificLight Power pada 28 September mula membina loji jana kuasa gas baharu di Pulau Jurong, yang menurut syarikat itu akan menjadi loji pertama seumpamanya di Singapura yang digandingkan dengan sistem penyimpanan bateri.

Sistem penyimpanan bateri biasanya digandingkan dengan sistem tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin, yang pengeluarannya tidak berterusan. Bateri menyimpan tenaga ketika pengeluaran tinggi dan menyalurkannya semula ke grid elektrik apabila diperlukan.

PacificLight Power menyatakan sistem penyimpanan bateri di loji baharunya membolehkannya memasang turbin gas lebih besar tanpa menjejas operasi grid.

Sistem itu juga membolehkan loji itu menjadi penampan sedang Singapura terus meningkatkan penggunaan tenaga solar.

Kini terdapat lebih 20 loji jana kuasa gas membekalkan elektrik kepada Singapura.

Apabila mula beroperasi pada 2029, loji PacificLight akan menjadi loji jana kuasa terbesar di Singapura yang menggunakan hanya satu unit penjanaan.

Kemudahan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang mampu menjana 670 megawatt (MW) itu akan menghasilkan elektrik yang mencukupi untuk membekalkan sehingga 1.2 juta flat empat bilik selama setahun.

Loji bernilai $1.2 bilion itu akan menjadi kemudahan CCGT tunggal terbesar dan paling cekap di Singapura, menurut syarikat itu. Ia dibina oleh Mitsubishi Power dan Jurong Engineering Limited.

Loji itu juga akan meningkatkan keupayaan PacificLight Power menjana elektrik sebanyak 70 peratus, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, tetamu kehormat di majlis pecah tanah itu.

PacificLight Power kini menjana hampir 10 peratus daripada keperluan elektrik tahunan Singapura.

Pada 2025, permintaan puncak elektrik Singapura sekitar 8 gigawatt (GW), iaitu jumlah tertinggi elektrik yang digunakan dalam tempoh tertentu, seperti ‘waktu puncak’ penggunaan tenaga.

Kemudahan jana kuasa negara sekarang ini mampu menjana kira-kira 13GW tenaga. Namun, menjelang 2031, permintaan puncak dijangka mencapai 9.9GW hingga 13GW, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), pengawal selia tenaga Singapura.

Dr Tan berkata permintaan puncak elektrik Singapura dijangka meningkat lebih pesat dalam beberapa tahun akan datang, didorong oleh perkilangan maju, ekonomi digital, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan elektrik dalam pengangkutan.

“Ini bukan hanya berlaku di Singapura. Negara di seluruh dunia berlumba-lumba mendapatkan tenaga untuk memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

“Memandangkan tenaga semakin mempengaruhi pelaburan, bekalan mencukupi perlu disediakan segera bagi memenuhi keperluan perniagaan.”

EMA meramalkan permintaan puncak elektrik Singapura meningkat 2.4 peratus hingga 6.5 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dr Tan turut menekankan keperluan memperkukuh daya tahan operasi prasarana tenaga.

Sehubungan itu, gabungan sistem penyimpanan bateri dan turbin gas meningkatkan “keupayaan loji menangani keadaan luar jangka dan membantu pemulihan sistem apabila diperlukan”, katanya.

Sistem bateri 80MW itu menyimpan elektrik ketika permintaan rendah dan menyalurkannya apabila diperlukan bagi mengimbangi bekalan dan permintaan serta melancarkan operasi.

PacificLight Power berkata sistem bateri itu mampu bertindak balas dalam dua saat.

Selain membina loji bahan api fosil bagi memenuhi permintaan elektrik, Singapura turut meneroka sumber tenaga lain yang mengeluarkan karbon lebih rendah.

Ini termasuk hidrogen yang dianggap bahan api bersih kerana pembakarannya tidak menghasilkan karbon dioksida yang memanaskan bumi.

PacificLight berkata loji baharunya juga serasi dengan hidrogen dan boleh menjana elektrik menggunakan campuran sehingga 30 peratus hidrogen dan selebihnya gas asli.

Syarikat itu sedang mengusahakan penggunaan 100 peratus hidrogen di loji tersebut pada masa depan, sejajar dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih sektor tenaga, yang kini menyumbang 40 peratus daripada jumlah pelepasan Singapura.

Pada masa depan, turbin gas itu boleh beralih kepada penggunaan 100 peratus hidrogen dengan sedikit pengubahsuaian, menurut laman web Mitsubishi Power.

Bahan api ini boleh dihasilkan melalui pelbagai kaedah, tetapi hanya dianggap hijau jika tenaga boleh diperbaharui digunakan untuk memisahkan air kepada oksigen dan hidrogen.

Ketua Eksekutif PacificLight Power, Encik Yu Tat Ming, berkata kos hidrogen hijau masih tinggi dan prasarana untuk penggunaan besar-besaran masih perlu dibangunkan.

Pada majlis itu, Dr Tan turut berkata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan menjadi Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Meti) pada 1 Oktober.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan perubahan itu pada 22 Julai berikutan peranan tenaga yang semakin penting dalam daya saing ekonomi, perubahan perindustrian dan daya tahan jangka panjang Singapura.