Topik diikuti
Pergi ke BHkuPaip bocor di Bukit Timah ganggu bekalan air penduduk
Bekalan air kepada 17 rumah di sebuah kawasan perumahan privet di Bukit Timah terganggu buat sementara waktu selepas satu kebocoran paip pada 22 Ogos, kata agensi air negara, PUB.
Agensi air itu dimaklumkan mengenai kebocoran tersebut di King’s Road pada kira-kira 5 pagi pada 22 Ogos, kata seorang jurucakap pada 23 Ogos.
PUB menghantar kakitangan perkhidmatan untuk mengasingkan paip air utama bagi kerja-kerja pembaikan.
Bekalan air kepada 17 unit terjejas, tetapi sebuah tangki air telah dihantar untuk menyediakan bekalan air sementara, tambahnya.
Bagi memudahkan kerja pembaikan, sebahagian daripada King’s Road ditutup buat sementara waktu.
Kerja pembaikan telah selesai dan bekalan air dipulihkan kepada semua unit yang terjejas pada 2 petang hari yang sama, kata PUB.
Satu video yang dihantar oleh seorang penduduk kepada Shin Min Daily News menunjukkan pancutan air — menyerupai air pancut kecil — menyembur dari tanah, membentuk satu lopak air di permukaan jalan.
PUB sedang menyiasat punca kebocoran paip tersebut.
Terdapat beberapa lagi kes kebocoran paip dan paip pecah pada 2026.
Kebocoran sebegini menyebabkan banjir di Yishun pada Mei dan di Ang Mo Kio pada Januari, manakala paip pecah mengganggu bekalan air kepada kawasan kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), termasuk Pek Kio pada Jun dan Boon Keng pada Januari.
Kejadian di Ang Mo Kio Avenue 1 menyebabkan air melimpah ke satu stesen minyak SPC berdekatan, manakala kira-kira 25 kedai di kawasan kejiranan Chong Pang, Yishun, terjejas selepas sebatang paip bawah tanah bocor dan menyebabkan banjir di kawasan tersebut.
Paip pecah di sebuah blok HDB di Pek Kio mengganggu bekalan air selama lebih tujuh jam, manakala penduduk di 29 unit rumah di blok HDB Boon Keng tidak dapat menggunakan tandas mereka selama beberapa jam akibat kebocoran paip kumbahan.

